KUALA LUMPUR 20 Nov - Zecon Bhd memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) dan Global Network Inc (GNI) bagi membangunkan dan melabur dalam projek di Taman Teknologi Hijau Kota Petra, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zecon berkata, pihak berkaitan bersetuju untuk meneroka lebih lanjut potensi taman teknologi itu dengan membangunkan mana-mana hartanah milik setiap syarikat dan pihak ketiga di taman itu.
"Sekiranya pihak-pihak telah mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk meneruskan tujuan dan/atau projek tertentu, ia hendaklah direkodkan melalui perjanjian muktamad berasingan termasuk peranan dan tanggungjawab pihak-pihak, jumlah transaksi dibayar oleh pihak masing-masing dan tujuan khusus pembangunan itu," katanya.
Sementara itu, PHB tidak akan mengadakan rundingan terus dan/atau pengaturan pelaburan dengan mana-mana pelabur industri di taman teknologi, melainkan dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada ZECON, SDEC dan GNI.
Sumber: Dagang News
Comentarios