top of page

YTL Power tawar beli 31.42 peratus kepentingan Ranhill


YTL Power International Bhd (YTLPI).

KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung 70 peratus milik YTL Power International Bhd (YTLPI), SIPP Power Sdn Bhd bercadang untuk mengambil alih kira-kira 31.42 peratus pegangan dalam Ranhill Utilities Bhd dengan pertumbangan tunai RM405.18 juta, bersamaan 99.5 sen sesaham.


Sebaik muktamad, pegangan saham langsung SIPP Power di Ranhill akan meningkat kepada kira-kira 34.32 peratus daripada 2.90 peratus, seterusnya mencetuskan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat (MTO) untuk memperoleh semua baki saham dalam penyedia perkhidmatan bekalan air itu.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, YTLPI berkata SIPP Power telah memeterai perjanjian pembelian saham tanpa syarat dengan Tan Sri Hamdan Mohamad, Hamdan Inc (Labuan) Pte Ltd dan Hamdan (L) Foundation untuk cadangan pengambilalihan itu.


"Secara kolektif dengan YTLPI, agregat pegangan saham langsung mereka di Ranhill akan meningkat kepada kira-kira 53.19 peratus daripada 21.77 peratus," katanya.


Ia berkata, cadangan pengambilalihan dan MTO itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.


"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka siap pada Jun 2024, manakala MTO dijangka selesai menjelang suku ketiga 2024," katanya.


YTLPI berkata, pengambilalihan itu mewakili peluang untuk memperoleh perniagaan matang, beroperasi dalam segmen yang berkait rapat dengan kecekapan teras sedia ada kumpulan, melengkapkan portfolio utilitinya dari segi geografi dan operasi.


"Urus niaga itu akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan masa depan kumpulan," katanya.


Dagangan kedua-dua saham YTLPI dan Ranhill digantung mulai 9 pagi tadi sementara menunggu pengumuman itu.


YTLPI mengakhiri hari dagangan semalam lebih tinggi satu sen pada RM4.96, manakala Ranhill naik 12 sen pada RM1.57 sesaham.



Comments


bottom of page