GAJI rendah, kerja kotor, tidak menarik, berpendidikan dan glamour, antara pandangan negatif masyarakat apabila Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkenalkan. Tanggapan negatif terhadap TVET sebagai pilihan kedua dalam bidang akademik konvensional perlu dihapuskan.
Dalam Belanjawan 2020, peruntukan program TVET berjumlah RM5.9 bilion, lebih RM200 juta daripada tahun sebelumnya. Ia menunjukkan kerajaan serius memperkasa program itu.
TVET ialah pendidikan dan latihan membekalkan pengetahuan serta kemahiran mendapatkan pekerjaan. Proses pendidikannya lebih menuju ke arah industri yang memerlukan tenaga kerja terlatih serta berkemahiran tinggi.
Kemunculan program TVET menjadi sinar baharu kepada negara. Pembelajaran berbekalkan teori semata-mata tidak mampu memberi kelebihan kepada golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan.
Di negara ini, lebih 1,200 institusi menawarkan program TVET dengan pendaftaran lebih 200,000 pelajar. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, mengatakan TVET ialah pelaburan, bukannya pembaziran.
Apabila bercakap mengenai pelaburan, perkara penting perlu diambil kira ialah jumlah pulangan dan tempoh pelaburan. Dan jika TVET pelaburan, bagaimana boleh dilihat hasilnya?
Konsep penyelarasan semula tidak hanya tertumpu kepada pendidikan di sekolah atau institusi pengajian tinggi. Beberapa tahun alu kita sering mendengar desakan pelbagai pihak mengenai penyelarasan semula subjek di sekolah dengan kehendak industri.
Hasil penyelarasan sudah tentu tidak boleh dilihat dalam tempoh singkat. Pelbagai aspek perlu diteliti, didalami dan dilihat agar sesuai dengan keperluan masa kini dan akan datang.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menubuhkan Badan Penyelaras TVET Negara, iaitu entiti tunggal yang besar dan seragam dalam menyatukan TVET di bawah satu bumbung untuk menjadikannya sistem lebih berdaya saing.
Ini inisiatif yang perlu diteruskan agar tiada kekeliruan dan campur tangan pihak luar sebagai rujukan bagi program TVET ini.
Penyelarasan ini juga perlu seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bakal dibentangkan pertengahan tahun ini dalam memastikan keperluan tenaga negara dapat dipenuhi bagi jangka pendek mahupun panjang.
Program TVET bukan sahaja sebagai saluran untuk memproses dan menghasilkan tenaga mahir tempatan, malahan enjin pembangunan negara. Dalam menghasilkan enjin ini, ia memerlukan pakar pembuat enjin – tenaga pengajar berwibawa.
Tenaga pengajar bertanggungjawab mengembangkan minat, bakat dan kebolehan pelajar. Mereka harus bersikap responsif kepada sebarang bentuk perubahan teknologi dalam industri agar tidak ketinggalan zaman apabila diajar kepada pelajar TVET.
Dengan lambakan pusat latihan TVET, tenaga pengajar perlu benar-benar berkelayakan dan cekap. Pengiktirafan rasmi diperlukan agar tenaga pengajar bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata.
Pengiktirafan bukan sahaja terhadap tenaga pengajar, malah merangkumi keseluruhan modul pengajaran dan pembelajaran agar terus kekal kompetitif dalam suasana pasaran kerja yang sentiasa berubah. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet untuk segalanya (IoT), data raya dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) mengubah landskap kehidupan manusia.
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mempunyai kuasa sepenuhnya dalam memberi akreditasi kepada pusat latihan TVET. Mereka perlu lebih aktif dengan penguatkuasaan ketat dalam mengiktiraf badan yang menjalankan program TVET.
Seperti diketahui, Jerman mempunyai sistem pendidikan dwi-latihan bagi memperkasa TVET yang ternyata berjaya membawa sistem pendidikan negara itu ke tahap tinggi, sekali gus diguna pakai beberapa negara termasuk Malaysia.
Dengan peruntukan RM5.9 bilion, saya sarankan MyTVET – TVET versi Malaysia diwujudkan, dengan kerjasama sistem pendidikan dari luar tetapi perlu diselaraskan dengan keperluan dan budaya kerja di negara ini.
Pelaksanaan ini perlu lebih sistematik, merangkumi segala aspek dan inklusif, tanpa mempedulikan tahap pendidikan seseorang pelajar selagi mereka mempunyai kelulusan sekolah rendah.
Zaman ‘tikus makmal’ perlu dihentikan. Modul pelaksanaan program TVET perlu dibentuk, dirangka dan diimplementasi secepatnya. Sama ada ia akan diajar dalam bahasa Melayu atau Inggeris, pembangunan dan kemajuan negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi, bahkan berkemahiran tinggi.
Sekiranya perubahan tidak dilakukan dengan segera, negara dikhuatiri menjadi tidak cekap di peringkat global dan akan terus ketinggalan.
Sumber: Berita Harian
Comentarios