KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) – Kontraktor Bumiputera khususnya kelas G7 meminta kerajaan mewujudkan satu mekanisme baharu dalam membuat penilaian terhadap tender secara 'cut off' memandangkan ada pihak yang mewujudkan kartel dan memanipulasi nilai tender itu.
Kaedah secara 'cut-off' itu merujuk kepada nilai minimum sesuatu projek itu yang mana kerajaan akan mengambil median di antara semua nilai-nilai yang ada bagi menentukan nilai munasabah sesuatu projek berkenaan.
Pengerusi Guild of Bumiputra Contractors Wibawa (GBC Wibawa) Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata mekanisme itu amat diperlukan, kerana perbuatan beberapa kumpulan ini adalah amat tidak bertanggungjawab.
“Perkara ini merupakan perancangan yang tidak sihat dan memberi impak negatif kepada kerajaan jika terus dibiarkan.
"Oleh itu, GBC Wibawa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pihak kontraktor Bumiputera kelas G7 berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan mereka dengan terus memberi tempat dan keutamaan dalam perolehan projek-projek kerajaan.
"Kami juga merakam setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Alwi Ibrahim atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang baharu, menggantikan Datuk Seri Zohari Akob," katanya.
Sumber: Bernama
Comments