SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh turun padang meninjau kerja-kerja penambahbaikan saliran parit di Jalan Chu Ming menuju ke Tanjung Manis di sini, hari ini.
Menurut Wong, kerja-kerja itu penting dilakukan bagi mengatasi masalah banjir kilat terutama pada musim hujan sekarang.
“Pembetung sedia ada telah tenggelam dan pecah menyebabkan aliran air tersekat dan banjir besar di kawasan sekitarnya.
“Kami memasang pembetung baharu yang lebih besar untuk melancarkan aliran air bagi mencegah kejadian banjir berulang pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berkata, pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membersihkan kedua-dua belah saliran di sepanjang Jalan Ling Chu Ming.
Katanya, kerja-kerja ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk disiapkan.
“Musim hujan sudah tiba dan jika saliran tidak dibersihkan, ia akan menyebabkan banjir besar di kawasan sekitarnya, terutama kebun sayur,” katanya.
Turut mengiringi beliau ialah Pengerusi PDP Bawang Assan Kapitan Wong Hua dan yang lain.
Sumber: Utusan Borneo
Comments