
KUALA LUMPUR: Wah Seong Corp Bhd (WSC), menerusi anak syarikat bukan langsungnya, WDG Resources Bhd memperoleh hak pengedaran eksklusif bagi jentera pembinaan dari Korea Selatan, Doosan Infracore Co Ltd ke Sabah dan Sarawak.
Dengan hak pengedaran itu, WDG Resources Bhd, kini adalah pengedar eksklusif peralatan berkenaan ke seluruh Malaysia bagi tempoh dua tahun berakhir 2020.
WDG Resources adalah pengedar eksklusif bagi mesin Doosan di Semenanjung Malaysia pada 2017 hingga 2018.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WSC, Chan Cheu Leong, berkata hak pengedaran ekslusif itu dijangka membantu syarikat mendapatkan peluang perniagaan di bahagian Timur Malaysia itu.
“Peluasan pengedaran ini memberi peluang kepada WDG untuk menyertai sebarang projek pembinaan dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak termasuk projek mega Lebuhraya Pan Borneo .
“Dengan peluasan hak pengedaran jentera Doosan, akan membantu meningkatkan jualan berpotensi WDG kepada dua kali ganda. Kumpulan yakin akan meneruskan pencapaian terbaik sebelum ini untuk menembusi pasaran di Sabah dan Sarawak,” katanya pada majlis menandatangi perjanjian kerjasama antara WDG dan Doosan di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Doosan, Chris Jeong Kwan Hee dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Perdagangan dan Perkhidmatan Perindustrian Wah Seong, Goh Eng Hooi.
Sementara itu, Eng Hooi berkata, terdapat 12 pakej pembinaan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang diberi tumpuan.
“Manakala di Sarawak, terdapat lebuh raya pesisir dan projek Pan Borneo yang sedang berjalan. Terdapat juga projek empangan akan datang yang dilihat sebagai peluang kepada kami,” katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, WDG akan membuka rangkaian cawangannya di Kuching dan Kota Kinabalu sebelum akhir tahun ini.
Mengulas lanjut, Eng Hooi, berkata bagi tempoh 2017-2018, syarikat berjaya meraih 10 peratus pegangan pasaran di Semenanjung Malaysia yang mewakili 10 peratus pegangan pasaran di seluruh negara.
“Pasaran jentera berat di Malaysia dijangka menyaksikan jualan tahunan sebanyak 2,400 mesin menjelang 2020 dalam segmen produk utama yang diceburi Doosan. Dengan perjanjian yang diperbaharui, WDG optimis untuk menguasai sekitar 10 peratus bahagian pasaran itu,” katanya.
Produk utama Doosan dalam segmen jentera berat termasuk penggali, pemuat roda dan trak dengan harga jualan purata kira-kira RM500,000 seunit.
Sumber: Berita Harian
コメント