TUARAN, 25 Okt (Bernama) -- Projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong dan LRA Telibong 2 di sini sedang dilaksana kerajaan Sabah bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air terutama di utara Kota Kinabalu dan Tuaran.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek UWSS di LRA Telibong dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember tahun ini bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat loji itu sebanyak 5 juta liter sehari.
Beliau berkata UWSS di LRA Telibong 2 yang dijangka beroperasi antara Februari hingga Mac tahun depan pula akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat loji itu sebanyak 10 juta liter sehari.
“Pelan sistematik ini dijangka dapat meningkatkan bekalan air terawat sebanyak 15 juta liter sehari di kawasan terlibat.
“Catuan masih dijalankan sebagai langkah sementara bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada penduduk yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau status perlaksanaan projek UWSS di dua LRA itu di sini hari ini.
Pada masa ini LRA Telibong mempunyai kapasiti 75 juta liter sehari dan LRA Telibong 2 berkapasiti 80 juta liter sehari.
Hajiji berkata kerajaan negeri sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan bagi membangunkan sebuah LRA berkapasiti 1,000 juta liter sehari di bawah pelan Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan terlibat.
Sumber: Bernama
Comentarios