MUNGKIN masih ramai belum mengetahui kewujudan Unit Dron di bawah Jabatan Pengurusan Aset Anih Berhad (Anih), syarikat konsensi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Penubuhan unit berkenaan sejak 2016 merupakan antara usaha syarikat tersebut bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna di sepanjang 250 kilometer jajaran lebuh raya berkenaan.
Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, SALEHUDIN MAT RASAD yang menyelami fungsi unit berkenaan.
TEMERLOH 27 Dis. - Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Anih Berhad (Anih) menubuhkan Unit Dron bagi meningkatkan kecekapan pemantauan cerun serta keselamatan pengguna di sepanjang 250 kilometer jajaran lebuh raya berkenaan sejak Jun 2016.
Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Aset Anih, Rosli Ahmad berkata, penubuhan unit berkenaan berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.5 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi di Bentong pada hujung 2015.
Katanya, Universiti Malaysia Perlis (UMP) yang membantu mengesan punca tanah runtuh telah menggunakan dron untuk mengambil gambar dan visual dalam tempoh singkat menjadi pencetus kepada idea penubuhan unit tersebut.
“Berikutan itu, pengurusan tertinggi Anih bersetuju menubuhkan empat unit dron sendiri bagi memantau pergerakan cerun bukit, perjalanan trafik, pencerobohan lebuh raya dan lain-lain keperluan.
“Sebelum ini, pemantauan cerun dan keselamatan lebuh raya dijalankan sebanyak dua kali setahun menggunakan helikopter yang menelan kos tinggi,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Rosli, jabatan tersebut komited menjalankan pemeriksaan penjagaan aset konsesi secara rutin, berjadual, pemantauan udara dan kecemasan seperti kemalangan kerana aspek keselamatan serta keselesaan pengguna menjadi keutamaan Anih.
“Anih kini menubuhkan empat Unit Dron yang ditempatkan di Plaza Tol Gombak, Tol Karak, Tol Temerloh dan Tol Kuantan dengan tiga dron iaitu DJI Inspire 1 bernilai RM25,000 dan selebihnya DJI Phantom 4 PRO 4 dengan harga RM12,000 setiap satu,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan dron membolehkan usaha pemantauan dan penyelenggaraan cerun lebih efisien termasuk dari segi masa yang mana lebih cepat dengan bukti seperti gambar serta video yang dapat dianalisis untuk tindakan segera pakar geologis.
Beliau memberikan contoh penggunaan dron berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk antaranya kejadian di Kilometer 53 di Lentang apabila unit tersebut mengesan kebarangkalian tanah runtuh di lokasi itu.
“Hasil pemantauan menggunakan dron nampak lebih jelas, memang ada runtuhan tetapi nasib baik ada kayu balak yang menahan. Jika tanpa guna dron mungkin situasi itu tidak dapat dikesan.
“Selain pemantauan cerun terutama ketika musim tengkujuh, dron juga digunakan untuk melihat kemungkinan berlaku pencerobohan pagar keselamatan di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Sumber: Utusan Online
Comments