top of page

Usaha pemuliharaan kekalkan status Tasik Chini Rizab Biosfera


Tasik Chini berkawasan seluas 6,923 hektar diwartakan sebagai Rizab Biosfera.
Gambar hiasan: Tasik Chini berkawasan seluas 6,923 hektar diwartakan sebagai Rizab Biosfera.

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memperkenalkan kaedah mengiktiraf tapak atau kawasan bernilai warisan dunia melalui tiga program, iaitu Tapak Warisan Dunia, Rizab Biosfera dan Geopark Global UNESCO.


Ketiga-tiganya mempunyai sistem penilaian semula bagi memastikan nilai warisan terpelihara, sekali gus pengiktirafan itu berfaedah kepada komuniti setempat. Rizab Biosfera mengamal sistem penilaian setiap 10 tahun melalui pelaporan kemajuan oleh pengurus berautoriti.


Tasik Chini berkawasan seluas 6,923 hektar diwartakan sebagai Rizab Biosfera pertama di negara ini pada 26 Mei 2009 di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO.


Pengiktirafan ini dibuat atas dasar nilai kepelbagaian biologi tinggi dan komuniti setempat, iaitu Orang Asli daripada suku Jakun amat bergantung hidup kepada sumber tabii daripada ekosistem tasik ini.


Pada 2022, kerajaan Pahang menyerahkan laporan untuk penilaian semula kepada UNESCO dan pada Jun ini, UNESCO akan memberikan maklum balas dan pandangan penambahbaikan berterusan. UNESCO jarang menarik balik pengisytiharan kecuali komponen nilai warisan musnah dan tidak boleh diperbaiki.



Lazimnya mereka hanya menasihati langkah perlu untuk mengawal kemerosotan alam sekitar dan pendekatan pemuliharaan sumber warisan. Selain itu, semakan semula ini memberi peluang untuk membincangkan pengemaskinian sistem zon serta menilai keadaan semasa, menegaskan objektif pemuliharaan dan cara praktik pengurusan terbaik.


Tasik Chini ialah tasik air tawar tabii kedua terbesar di Semenanjung terbentuk daripada proses perubahan geomorfologi Sungai Pahang yang kini membentuk sistem saliran baharu. Sebuah tasik kecil, mempunyai sistem lembangan saliran Sungai Chini, iaitu kawasan tadahan hujan membekalkan air sepanjang tahun dan paras airnya dipengaruhi banjir bermusim.


Keluasan mengecil akibat perlodakan

Melalui proses tabii aktif di rantau tropika lembap, keluasan tasik akan sentiasa mengecil disebabkan proses perlodakan. Ini sebahagian proses evolusi geomorfologi tasik. Begitupun, proses perlodakan boleh lebih aktif sekiranya terdapat pembukaan tanah menggalakkan hakisan.


Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) mengandungi kekayaan spesies ikan antara 21 hingga 28 spesies sejak 2005 seperti dilaporkan pelbagai penyelidik. Hutan hujan tropika tanah rendah di Tasik Chini mencatatkan sebanyak 170 spesies tumbuhan, 15 daripadanya adalah endemik dan 32 spesies termasuk dalam senarai merah spesies tumbuhan terancam Kesatuan Konservasi Alam Antarabangsa (IUCN).


Integriti kepelbagaian biologi di ekosistem tasik ini masih dalam keadaan baik. Sumber ikan di tasik ini juga masih mampu dimanfaatkan sebagai sumber protein utama oleh komuniti Orang Asli yang tinggal di sekitar tasik.


Pada peringkat kebangsaan, di bawah naungan Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim (NRECC), Jawatankuasa Kebangsaan MAB UNESCO membentuk Kumpulan Kerja Teknikal untuk mencapai objektif Rizab Biosfera di seluruh negara.


Jawatankuasa ini sentiasa menasihati pihak berkuasa negeri mengambil tindakan proaktif bagi memulihara warisan dunia ini. Kerajaan Pahang dan pihak berkuasa Persekutuan memulakan banyak inisiatif baharu untuk TCRB, antaranya pembentukan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) pada Ogos 2021. Organisasi ini bertanggungjawab mengurus, mentadbir dan mengawal Taman Negeri Pahang, termasuk TCRB.


Kebanyakan usaha pemuliharaan untuk melindungi TCRB dibiayai kerajaan negeri, entiti swasta dan sumbangan Kerajaan Persekutuan. Contohnya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberikan sokongan kewangan berterusan untuk pembangunan prasarana, pemuliharaan dan rekreasi.


Pemuliharaan dan pengurusan bersepadu diberikan perhatian tinggi sejak pengisytiharan TCRB. Penyelidikan dalam TCRB dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), yang mengendalikan stesen penyelidikan di sekitar kawasan TCBR sejak 2004.


Usaha penyelidikan ini disokong pelbagai institusi di bawah naungan NRECC dan Kementerian Sains dan Teknologi, khususnya agensi seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM).


Sejak penubuhan PPTC, banyak penyelidikan dan kerja kemasyarakatan dilakukan bagi membolehkan pelbagai program dijalankan, terutama untuk mengekalkan integriti ekosistem tasik air tawar tabii istimewa ini.


Contohnya, satu projek kerjasama pelbagai pihak, kini Tasik Chini bebas daripada Cabomba furcata, iaitu sejenis tumbuhan akuatik asing invasif, sejak diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera pada 2009.


Air tasik dipantau secara konsisten

Kualiti air Tasik Chini sentiasa dipantau secara konsisten oleh PPTC dan status terkini ialah baik, iaitu kualiti air Kelas 2B. Dengan tahap kualiti ini, Tasik Chini boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi air.


Program penanaman semula teratai adalah satu lagi bukti usaha pemuliharaan ekosistem diberikan perhatian. Semasa monsun, paras air tinggi menyebabkan teratai tenggelam.


Selepas paras air meningkat, bilangan teratai berkurangan dengan ketara. Program pemuliharaan teratai antara projek berjaya di Tasik Chini dengan kesinambungan dana daripada ECERDC.


Selain usaha penyelidikan dan pemuliharaan, PTNP selaku Pengurus TCRB, mengenakan dasar lebih kukuh mengenai guna tanah di TCRB dan kawasan itu kini bebas daripada semua aktiviti perlombongan. Sungai dan hutan sekitar TCRB menjalani pemulihan aktif, terutamanya di kawasan bekas tapak pembangunan.


Masyarakat, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tanpa mempunyai sokongan maklumat, sering membuat andaian pihak berkuasa tidak memberikan perhatian mencukupi untuk memulihara Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera dunia.


Sepatutnya mereka berganding bahu memajukan usaha murni ini dan sentiasa bersikap proaktif memperkenalkannya di arena antarabangsa.


Norhayati adalah Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Ibrahim adalah Pengerusi Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM)


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page