top of page

Untung bersih SunCon naik 20 peratus


Sunway Construction Group Bhd (SunCon)
Sunway Construction Group Bhd (SunCon)

Sunway Construction Group Bhd (SunCon)

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Construction Group Bhd (SunCon) meningkat 20 peratus kepada RM135.18 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 daripada RM112.59 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi kesemua segmennya yang bertambah baik.


Perolehan hasil firma pembinaan itu turut menokok 24.86 peratus kepada RM2.16 bilion daripada RM1.73 bilion, sebelum ini.


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata segmen pembinaan meraih hasil lebih tinggi kepada RM1.97 bilion daripada RM1.61 bilion sebelumnya.


Menurutnya, prestasi itu disumbangkan oleh projek di India serta aktiviti ekonomi yang kembali pulih pada tahun kewangan semasa manakala hasil segmen pratuang turut bertambah kepada RM181.6 juta daripada RM122.9 juta sebelumnya.


Bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (suku keempat tahun kewangan 2022), keuntungan bersih SunCon bagaimanapun berkurangan kepada RM45.65 juta daripada RM64.73 juta.


Hasilnya turut susut kepada RM503.43 juta daripada RM626.61 juta, sebelum ini.


"Prestasi lebih rendah itu disebabkan oleh penyusutan sumbangan daripada segmen pembinaan," katanya dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia.


SunCon turut mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022 yang akan dibayar pada 6 April 2023.


Mengulas prestasi itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Liew Kok Wing, berkata kumpulan berjaya melangkaui sasaran nilai perolehan kontrak baharu tahun kewangan 2022 pada RM2.6 bilion daripada sasaran awal sebanyak RM2.0 bilion.


"Tanpa mengambil kira sebarang kejadian di luar jangka, termasuk kemungkinan kenaikan harga bahan mentah, kumpulan ini optimis namun berhati-hati untuk meraih pertumbuhan lebih positif dalam tahun kewangan 2023 yang disokong oleh nilai perolehan kontrak sedia ada kumpulan yang memberangsangkan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comentarios


bottom of page