KUALA LUMPUR – Bagi penghasilan produk dan teknik pemantauan cerun yang mampu diaplikasikan dalam industri pembinaan, Universiti Malaya (UM) telah menandatangani satu Memorandom Persefahaman (MoU) bersama pemain industri.
MoU tersebut telah dimeterai bersama satu nama besar pemain industri tempatan, Pintas Utama Sdn. Bhd di Hotel St. Regis di sini hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inivasi) UM, Prof. Shaliza Ibrahim berkata, MoU tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara organisasi dan institut pengajian tinggi bagi menyumbang idea-idea baharu berasaskan daya fikir ahli akademik dan pemain industri.
“Kolaborasi sinergi ini juga mengintai peluang untuk mendalami teknologi mengesan pergerakan tanah dan pemantauan cerun serta berpotensi memantau sebarang pergerakan tanah susulan kerja-kerja pembinaan dijalankan.
“Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini berlaku di tapak pembinaan,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Universiti Malaya dan Pintas Utama Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn. Bhd., Datuk Marhalim Mohamed berkata, dalam siri perbincangan pihaknya bersama UM sebelum ini, kawasan Blue Valley di Cameron Highland telah dipilih sebagai tapak permulaan pelaksanaan kajian mereka.
“Kawasan tersebut dipilih bagi pemasangan sensor dan sebagai tapak permulaan bagi pelaksanaan kajian lapangan kami.
“Diharapkan kerjasama ini akan menjadi titik tolak untuk penemuaan inovasi baharu pada masa akan datang yang melibatkan usaha sama dengan pihak UM,” jelasnya.
Sumber: Kosmo!
Comments