top of page

UEM Edgenta beli 60 peratus pegangan syarikat Arab Saudi


UEM Edgenta Bhd
UEM Edgenta Bhd

UEM Edgenta Bhd

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Edgenta Arabia Limited (EAL) menyempurnakan transaksi bersama Mohammed I. Alsubeaei & Sons Investment Company (MASIC) bagi pelaburan 60 peratus pegangan ekuiti dan peruntukan modal pertumbuhan dalam Syarikat Pengurusan Fasiliti MEEM (MEEM).


Urus niaga itu disempurnakan setelah mendapat kelulusan kawal selia tempatan dan memenuhi syarat perjanjian muktamad terdahulu.


Pemerolehan strategik 60 peratus MEEM akan membolehkan UEM Edgenta mengukuhkan kehadiran di Arab Saudi, di mana MEEM menjadi antara usaha sama dan peluang perkongsian pertama antara UEM Edgenta dan MASIC.


Kedua-dua entiti akan memberi fokus terhadap pengurusan kemudahan fasiliti bersepadu pintar serta projek penjagaan kesihatan di mana kelayakan UEM Edgenta yang kukuh dalam bidang ini boleh dilaksanakan serta-merta di pasaran Arab Saudi.


Ditubuhkan pada 2017, MEEM adalah syarikat pengurusan kemudahan tempatan (FM) yang diasaskan oleh MASIC, sebuah syarikat pelaburan terkemuka di Arab Saudi dengan pelaburan yang merangkumi perkhidmatan kewangan, hartanah, ekuiti awam serta swasta.


MASIC baru-baru ini disenaraikan sebagai salah satu daripada '100 Perniagaan Keluarga Arab Teratas 2023' oleh Forbes Middle East.


Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, berkata pelbagai inisiatif menarik dalam Arab Saudi telah menetapkan pasaran pelaburan di kawasan itu di samping rancangan pembangunan utama negara di dalam sektor infrastruktur, teknologi dan penjagaan kesihatan, kawasan di mana UEM Edgenta mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh di Asia.


"MEEM menyediakan platform untuk kami memperluaskan pasaran dan berkembang di Arab Saudi, ditambah pula dengan kedudukan terunggul UEM Edgenta dalam penyelesaian pengurusan kemudahan yang didayakan teknologi dan didorong kelestarian, kami yakin ini asas kejayaan untuk Edgenta membuka peluang bagi memperoleh pasaran baharu," katanya dalam satu kenyataan.


Kemampuan MEEM termasuk menyediakan perkhidmatan FM berat dan ringan, perkhidmatan khusus dan sokongan bagi hartanah komersial, perindustrian, pendidikan dan kediaman di Arab Saudi, dengan tenaga kerja melebihi 150 pekerja.


MEEM menyediakan platform pengurusan kemudahan fasiliti yang sedia beroperasi dan kontrak sedia ada untuk mempercepatkan operasi UEM Edgenta dalam pasaran Arab Saudi.


Berpandukan Wawasan 2030 Arab Saudi, pasaran pengurusan fasiliti di negara itu dijangka berkembang sebanyak pada kadar purata tahunan 6.2 peratus kepada AS$35 bilion menjelang 2028, menyumbang 50 peratus daripada perbelanjaan di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page