top of page

UEM beli saham majoriti Cenergi daripada Khazanah


UEM beli saham majoriti Cenergi daripada Khazanah
Cenergi SEA Bhd

UEM beli saham majoriti Cenergi daripada Khazanah

KUALA LUMPUR: Cenergi SEA Bhd (Cenergi), sebuah syarikat penyelesaian tenaga mampan kini menjadi anak syarikat UEM Group Bhd (UEM Group), susulan pengambilalihan pegangan saham majoriti dalam Cenergi oleh UEM Group daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).


Ditubuhkan pada 2008, Cenergi memiliki kepakaran dalam mengurangkan jejak karbon menerusi pelaburan dalam tenaga boleh baharu, terutamanya biogas, biomas dan solar serta projek kecekapan tenaga.


Cenergi ialah peserta industri biogas sisa akhir efluen sawit (POME) bersambung grid terbesar di Malaysia, memiliki portfolio 23 loji janakuasa biogas di Malaysia dan Indonesia, dengan kapasiti penjanaan keseluruhan sebanyak 39.6 megawatt (MW).


Di samping itu, ia juga mengendalikan 20 projek solar di seluruh Malaysia, membabitkan ladang solar dan solar atas bumbung, dengan kapasiti keseluruhan melebihi 37.6 megawatt peak (MWp).


Ketika ini, Cenergi sedang dalam proses membina dan membangunkan pelbagai projek biogas, solar atas bumbung dan ladang solar di Malaysia.


Anak syarikatnya, Cenergi EE Holdings Sdn Bhd pula baru-baru ini dianugerahkan kuota sebanyak 29.99MWac oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).


"Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata Cenergi memiliki rekod kerja yang cemerlang dalam pelbagai projek di seluruh negara.


"Syarikat ini mempunyai potensi yang cukup baik dan kami komited untuk mengembangkannya di samping menyediakan sokongan dari segi kepakaran, pengoperasian dan kewangan untuk memperkasakan lagi keupayaan operasi Cenergi, meraih lebih banyak projek dan membuka jalan ke arah era pertumbuhan baharu.


"Cenergi ialah aset penting UEM Group dan kami berazam untuk meletakkannya pada kedudukan selaku jaguh hijau tempatan untuk menyumbang ke arah masa hadapan Malaysia yang lebih lestari," katanya dalam satu kenyataan.


Sepanjang Ogos 2012 sehingga Mei 2023, Cenergi merusi rangkaian aset dan pelaburannya mengurangkan sejumlah 2.4 juta tan pelepasan karbon, bersamaan dengan mengalihkan kira-kira 547,762 kenderaan penumpang dari jalan raya atau membekalkan tenaga kepada 310,234 rumah setahun.


Mohd Izani berkata, tenaga boleh baharu adalah salah satu sektor utama serta yang diberi tumpuan segera oleh UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), sayap industri hijau dan anak syarikat milik penuh UEM Group.


Beliau berkata, ini setelah mengambil kira daya tarikan pasaran yang kukuh serta kepentingannya dalam memacu agenda dekarbonisasi Malaysia.


Katanya, pengalaman luas dan keupayaan Cenergi dalam sektor ini memberi nilai tambah yang cukup baik buat UEM Group dan UEM Lestra secara khusus.


"Dalam masa sama, penyertaan Cenergi sebagai sebahagian daripada UEM Group akan membolehkannya berserta dengan anak-anak syarikat kami yang lain merentasi pelbagai perniagaan teras yang berbeza saling melengkapi secara strategik.


"Dengan memanfaatkan kepakaran dan kelebihan individu setiap anak syarikat, kami akan dapat mencipta peluang perniagaan sinergistik buat UEM Group secara keseluruhannya," katanya.


Sumber: Berita Harian


UEM beli saham majoriti Cenergi daripada Khazanah


Hozzászólások


bottom of page