Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif, Pensyarah Ekonomi Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Soalan (S): Pada pandangan Prof, apakah kelebihan dan kekurangan penurunan kuasa laksana projek kecil ini?
Jawapan (J): Kelebihan pendekatan ini membolehkan JKR menumpukan projek infrastruktur berskala besar dan tidak terbeban dari segi pengurusan sumber manusia menguruskan bilangan projek infrastruktur terlalu banyak di setiap negeri. Kita tidak boleh bandingkan kerja JKR seperti 20 atau 30 tahun lalu dengan projek sekarang disebabkan pembangunan pesat pada masa kini, bukan sahaja di bandar, tetapi juga luar bandar. Kekurangannya ialah sama ada ketirisan, rasuah dan penyelewengan dana masih boleh berlaku pada peringkat jabatan lain dan kemungkinan lagi sukar dikawal kerana ia membabitkan banyak jabatan.
S: Bermakna, pendekatan baharu ini membuka ruang lebih luas kepada penyelewengan?
J: Cara baharu hanya mampu menangani isu ketirisan atau penyelewengan jika semua jabatan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) terperinci dan semua projek tidak diuruskan melalui sistem manual. Pengkuatkuasaan juga penting disokong kawalan dalaman jabatan berkaitan dengan mantap, mempunyai sistem pengurusan risiko termasuk dasar 'whistleblowing' dalaman. Jika aspek ini dititikberatkan, mungkin peluang berlaku ketirisan atau penyelewengan dapat diminimumkan. Kementerian dan jabatan di bawahnya perlu memastikan elemen ini dimantapkan jika mahu mengatasi isu ketirisan dan penyelewengan.
S: Proses tender terbuka perlu dijalankan atau jabatan buat lantikan terus untuk melaksanakan projek?
J: Proses tender terbuka menjadi satu-satunya cara untuk menganugerahkan projek terbabit dan tidak lagi membuat lantikan terus. Namun, harus dipastikan semua pembida projek atau kontraktor tidak terdiri daripada orang atau syarikat sama yang menggunakan proksi. Pengalaman lalu menyaksikan pembida menggunakan banyak proksi dan akhirnya syarikat sama mendapat projek kerajaan. Walaupun projek kecil, ia tetap membabitkan dana kerajaan bersumberkan cukai dibayar rakyat.
S: Adakah perubahan dasar ini dapat hapuskan amalan kronisme dan kepentingan politik?
J: Perubahan berkenaan tidak akan bebas daripada pengaruh kronisme dan kepentingan politik jika tata kerja penganugerahan projek masih di takuk lama seperti SOP tidak diamalkan atau penganugerahan projek menerusi lantikan terus. Ia juga akan bermasalah jika pengurusan projek dilakukan secara manual dan budaya rasuah pasti menebal sehingga tiada siapa sanggup tampil memberi maklumat sebagai 'whistleblower'. Ini antara aspek yang kerajaan perlu beri perhatian jika benar-benar mahu memastikan setiap projek berdaya saing, bebas penyelewengan dan ketirisan.
S; Siapa patut dipertanggungjawabkan jika projek itu gagal disiapkan, tertangguh?
J: Sudah tentu jabatan dan pegawai jabatan yang menyelia projek perlu dipertanggungjawabkan. Tindakan perlu diambil jika terbukti kesalahan atau kegagalan projek itu disebabkan kecuaian atau kelemahan jabatan. Pegawai yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan sewajarnya, termasuk jika membabitkan pegawai atasan. Kalau kesnya terlalu teruk, pegawai terbabit boleh dipecat atau dikenakan tindakan undang-undang.
Sumber: Berita Harian
Ubah cara lantik kontraktor elak seleweng, ketirisan
Comments