top of page

Tunggakan kontraktor selenggara PPRT tahun depan


Tunggakan bayaran kepada kontraktor kecil yang mengendalikan pembinaan dan penyelenggaraan PPRT akan diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tunggakan bayaran kepada kontraktor kecil yang mengendalikan pembinaan dan penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.


Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, ketika menyuarakan komitmen itu, mengakui wujud rungutan dalam kalangan kontraktor kecil yang terpaksa berdepan masalah aliran kewangan syarikat kerana kerajaan belum melangsaikan bayaran bagi kerja pembinaan.


Meskipun kes tunggakan bayaran berlaku sejak 2017 susulan kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu, kementerian berkenaan komited mencari dana mencukupi demi merungkai isu terbabit secepat mungkin.


“Betul, masalah ini muncul menerusi FELCRA yang gagal membuat bayaran kepada kontraktor atas sebab tertentu, justeru kita akan cari dana sewajarnya untuk selesaikan hutang terbabit.


“Sebahagian besar hutang ini sudah diselesaikan dan kita jangkakan selebihnya bakal dilunaskan selewat-lewatnya menjelang tahun depan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang menyampaikan keluhan kontraktor kecil di kawasannya mengenai kegagalan kerajaan membayar upah selepas menyiapkan pembinaan PPRT.


Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang mengemukakan rintihan sama dan menuntut penjelasan mengenai mekanisme baharu pelaksanaan projek berkaitan PPRT, Sivarasa berkata, kerajaan menggunakan pendekatan lain bagi memastikan aspek kelancaran kerja.


“Sekarang bukan lagi FELCRA (yang mengendalikan projek berkaitan pembinaan unit PPRT), tetapi Giat MARA dilantik sebagai agensi pelaksana bagi tujuan berkenaan,” katanya.



14 views

Comments


bottom of page