DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) akan melaksanakan operasi kunci air berikutan jumlah tunggakan sewaan yang semakin meningkat.
Pengarah JPKKB, Zulkifli Muhamad berkata, sebahagian besar penyewa yang sedang menyewa mempunyai tunggakan sewa yang banyak sehingga membebankan DBKL untuk mengurus kawasan PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur.
“Sehingga 31 Oktober 2024, tunggakan penyewa aktif telah mencecah RM31.5 juta yang dijangka akan semakin meningkat sekiranya tiada tindakan tegas diambil.
“Kami memandang serius isu tunggakan ini yang menyebabkan kutipan sewa semakin merosot. Keadaan ini juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan tidak adil kepada penyewa yang bertanggungjawab membayar sewa secara konsisten setiap bulan,” katanya kepada Wilayahku di pejabatnya pada Isnin.
Menjelas lanjut, Zulkifli berkata, selaras dengan Klausa 9 Perjanjian Penyewaan Rumah DBKL yang menyatakan Datuk Bandar boleh melaksanakan tindakan memotong bekalan air sekiranya penyewa mempunyai tunggakan sewa, pihaknya akan melaksanakan Task Force Culas Sewa iaitu tindakan memotong bekalan air ke atas unit penyewa yang ada tunggakan sewa.
“Task Force Culas Sewa akan mula dilaksanakan pada Disember 2024 di beberapa kawasan PPR yang mempunyai jumlah tunggakan tertinggi iaitu RM663,398.70 dengan 222 penyewa bertunggakan tiga bulan dan ke atas.
“Task force ini akan diperluaskan di kawasan PA/PPR DBKL bagi menjejaki penyewa yang masih culas membayar sewa dan tunggakan,” katanya.
Zulkifli berkata, sebelum mengambil tindakan berkenaan, pihaknya telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif termasuklah daripada menyantuni sehingga tindakan undang-undang.
“Hebahan, makluman, lawatan ke unit-unit bertunggakan sewa, sesi bersemuka telah diadakan sebagai menyantuni penyewa untuk menjelaskan tunggakan, notis-notis tunggakan juga dikeluarkan sebagai peringatan.
“Semua tindakan yang dilaksanakan sebagai memberi ruang dan peluang kepada golongan bertunggakan ini untuk tampil berunding bagi menstrukturkan bayaran tunggakan,” katanya.
Menurut Zulkifli, pihaknya turut memberi ruang dan peluang kepada penyewa bertunggakan untuk menjelaskan tunggakan sewa melalui Notis Tunggakan Kunci Air yang dikeluarkan dan seterusnya mengadakan sesi bersemuka sebelum pelaksanaan Task Force Culas Sewa.
“Mana-mana penyewa yang mempunyai tunggakan, mereka perlu tampil segera untuk berunding dan seterusnya menjelaskan tunggakan sewa sebelum Task Force Culas Sewa dilaksanakan.
“Setelah diberi ruang dan peluang berunding tetapi masih lagi culas, DBKL akan mengambil tindakan memotong bekalan air yang pasti lebih menyulitkan penyewa dan urusan penyewaan di mana Perjanjian Penyewaan berisiko untuk ditamatkan,” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comentarios