top of page

Toyota rancang prototaip bandar masa depan


KETUA Eksekutif Toyota, Akio Toyoda. - Foto Reuters

LAS VEGAS: Toyota Motor Corp bercadang membangunkan prototaip “bandar masa depan” berhampiran Gunung Fuji, Jepun yang dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen.


Ia akan berfungsi sebagai makmal untuk kereta pemanduan sendiri, ‘rumah pintar’, kecerdasan buatan dan teknologi lain.


Toyota menampilkan pelan itu di Pameran Elektronik Pengguna (CES), pameran industri teknologi terbesar.


Pembangunan itu akan dibina di kawasan kilang yang dirancangkan untuk ditutup, akan dikenali sebagai “Woven City” - merujuk kepada permulaan Toyota sebagai syarikat perkilangan tenun - dan akan menjadi kediaman kepada penduduk sepenuh masa dan penyelidik.

Toyota tidak mendedahkan kos untuk projek berkenaan.


Eksekutif di kebanyakan pengeluar kereta utama bercakap mengenai bagaimana bandar masa depan akan direka bagi mengurangkan pelepasan-perubahan iklim dari kenderaan dan bangunan, mengurangkan kesesakan dan menerapkan teknologi internet untuk kehidupan seharian.


Bagaimanapun, rancangan Toyota untuk membangunkan komuniti futuristik di kawasan seluas 71 hektar berhampiran Gunung Fuji adalah langkah besar yang melangkaui apa yang telah dicadangkan pesaing.


Cadangan itu bukan saja mencerminkan cita-cita Ketua Eksekutif Toyota, Akio Toyoda, tetapi juga sumber kewangan dan politik Toyota boleh laksanakan, terutamanya di negara asalnya.


Toyota menjangkakan 2,000 orang akan tinggal di bandar pada mulanya, dengan pembinaan dijangka bermula tahun depan.


Toyoda menggelarkan projek itu “projek lapangan mimpi peribadi saya”.

“Anda tahu jika anda membinanya, mereka akan datang.”


Toyota berkata, ia sudah melantik arkitek Denmark, Bjarke Ingels untuk mereka bentuk komuniti.


Syarikat Ingels mereka bentuk bangunan 2 World Trade Center di New York dan pejabat Google di Lembah Silikon dan London.


Toyota berkata, ia terbuka kepada kerjasama dengan syarikat lain yang ingin menggunakan projek itu sebagai asas ujian untuk teknologi. -Reuters



19 views

Comments


bottom of page