tenaga boleh baharu (TBB) di Eropah berupaya membolehkan Malaysia menggarap pengetahuan berharga untuk mempercepatkan Peralihan Tenaga (ET) bertanggungjawab negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata penting bagi negara untuk berjaya dalam peralihan tenaga ini supaya kekal berdaya tahan dari segi ekonomi dan pada masa sama, memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan mampan.
Katanya, negara juga boleh mengimbangi isu-isu seperti keterjaminan tenaga, ekuiti tenaga dan kelestarian alam sekitar sekali gus memberi manfaat kepada negara melalui pemindahan teknologi dan peningkatan kecekapan modal insan.
"Penerokaan TBB ini melalui anak syarikat milik penuh TNB di United Kingdom (UK) iaitu Vantage RE Ltd, diharap akan terus berkembang dan mencapai kemajuan lebih besar pada tahun-tahun akan datang.
"Idea dan kepakaran anda amat berharga ketika kami memacu matlamat Peralihan Tenaga yang dicita-citakan kerana pengetahuan dan kepakaran yang akan dimanfaatkan tidak ternilai untuk TNB dan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan ketika mengadakan lawatan kerja ke Vantage RE, baru-baru ini.
Vantage RE yang beribu pejabat di London ditubuhkan pada 2021 untuk memiliki, mengendali, membangun dan menguruskan portfolio aset RE di UK dan Eropah sebagai sebahagian daripada komitmen global TNB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
TNB kini mempunyai lebih daripada 630 Megawatt (MW) aset TBB yang terdiri daripada projek tenaga suria, angin darat dan luar pesisir merentasi UK.
Dalam lawatan itu, Nik Nazmi turut merasmikan ibu pejabat baharu Vantage RE di 20 Eastbourne Terrace dan melawat ladang angin luar pesisir Vantage RE di luar pesisir pantai Blyth, Pantai Timur Laut England.
Ladang angin luar pesisir Vantage RE beroperasi dengan kerjasama EDF Renewables UK dan Ireland, menampilkan contoh aset penjanaan tenaga bersih berprestasi tinggi.
Nik Nazmi berkata, kerajaan kini sedang meneroka pasaran import dan eksport tenaga dan berhasrat Malaysia dapat memainkan peranan penting dalam Grid Tenaga ASEAN.
"Saya yakin bahawa pengalaman UK menjadi panduan penting untuk Malaysia dalam usaha kita meneruskan visi ini memandangkan kira-kira 31 peratus tenaga elektrik UK dijana daripada angin (26.8 peratus) dan solar (4.4 peratus) pada tahun 2022," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Baharin Din, berkata Vantage RE adalah komponen penting dalam perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab TNB dan pengalaman besar yang diperolehi di UK meletakkan TNB dalam kedudukan yang unik untuk memanfaatkan lebih banyak peluang.
"Perniagaan TBB antarabangsa adalah satu bidang keutamaan untuk TNB berkembang maju dalam jangka panjang dan akan terus membuat pelaburan besar dalam bidang ini.
"Usaha ini akan mempercepatkan pertumbuhan TBB dan membina keupayaan TNB di pasaran asing, membolehkan kami lebih memahami bagaimana Malaysia boleh mewujudkan rangka kerja yang betul, memberi insentif kepada penggunaan teknologi utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), hidrogen serta Perangkap Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS) yang akan menyokong Peralihan Tenaga.
"Kami komited terhadap agenda Peralihan Tenaga TNB untuk mengurangkan 35 peratus daripada intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Vantage RE, Vian Davys, mereka sentiasa komited untuk meningkatkan kapasiti TBB bagi memenuhi permintaan tenaga bersih yang semakin meningkat dan seterusnya membangunkan keupayaan TNB untuk menghadapi cabaran masa depan.
"Selain portfolio semasa 530 MW dan 102 MW dalam pembangunan, kami merancang untuk meneroka pasaran dan teknologi baharu yang menawarkan peluang pertumbuhan menggalakkan, sekali gus mengembangkan jejak kami secara strategik dalam bidang ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
TNB raih pengalaman teknologi tenaga boleh baharu menerusi projek di Eropah
Comments