top of page

TNB, Malaysia Airlines meterai perjanjian pemasangan panel solar


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi syarikat runcit tenaga boleh diperbaharuinya (RE), GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) untuk pemasangan panel solar pada empat bangunan syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


TNB dalam satu kenyataan bersama, berkata di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SSA), Malaysia Airlines dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM15 juta bil elektrik sepanjang 21 tahun kontrak hasil kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.


Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata projek berkenaan akan memanfaatkan Malaysia Airlines dalam usaha jangka panjang untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.


"Sebaik siap pada April 2021, tenaga hijau yang dijana daripada projek ini dijangka dapat mengimbangi pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 2,022 tan untuk tahun pertama, atau kira-kira 56,638 tan pelepasan sehingga 2050.


"Ini bersamaan dengan mengurangkan 12,197 kereta di jalan raya atau menanam sebanyak

933,520 pokok," katanya.


Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airlines, Boo Hui Yee dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines, KLIA South Support Zone, semalam.


Ia disaksikan Amir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail.


Panel solar fotovoltaik (PV) yang bakal dipasang mempunyai kapasiti 2.210 megawatt peak (MWp) yang mampu menjana hampir 2.86 gigawatt jam (GWh) tenaga hijau setahun.

Projek itu adalah pemasangan terbesar pada satu lokasi buat GSPARX.


Amir Hamzah berkata, ketika banyak negara berdepan masa sukar akibat wabak COVID-19, syarikat korporat seperti Malaysia Airlines dan TNB mengambil pendirian kukuh terhadap usaha menangani perubahan iklim, terutamanya dalam pengurangan pelepasan karbon.


"TNB mengambil pendirian teguh dengan aspirasi yang diperbaharui untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga lestari di peringkat Malaysia dan antarabangsa.


"Sehingga kini, kami akan memacu perubahan ketara dalam portfolio penjanaan tenaga ke arah lebih banyak RE dan ia jelas dizahirkan dengan bermulanya pengoperasian loji jana kuasa arang batu TNB yang terakhir di atas tapak baharu, Jimah East Power Plant di Negeri Sembilan," katanya.


Beliau berkata, TNB sedang giat memperkukuhkan portfolio RE di dalam dan luar negara dengan sasaran untuk mencapai 1,700 MW menjelang 2025 dan menyokong sasaran negara untuk mencapai penjanaan 20 peratus RE menjelang 2025.


Selain aset penjanaan berskala besar, TNB juga aktif menyokong pertumbuhan RE di peringkat penjanaan teragih melalui kerjasama seperti yang dilakukan dengan MAB bagi membolehkan pengguna menjadi pengeluar swaguna (prosumer).


Amir Hamzah menegaskan, kerjasama dalam bidang RE dilaksanakan TNB turut menjadi teras kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang menjurus kepada pembentukan hab penghasilan solar di Malaysia.


"Ini adalah selaras dengan enam fokus tumpuan TNB yang dilakukan untuk membantu pemulihan ekonomi negara selepas kesan PKP dan wabak COVID-19. Selain pembinaan hab solar global, fokus lain termasuk pelaburan untuk menaik taraf grid, kecekapan tenaga, menguasakan mobiliti, memperkasakan kesalinghubungan dan latihan semula," katanya.


Sementara itu, Izham berkata, ia adalah satu lagi langkah penting dalam perjalanan untuk menjadi syarikat penerbangan yang hijau dan mampan.


Katanya, kelestarian merangkumi keseluruhan rantaian bekalan perniagaan dan kami percaya apa jua yang bermanfaat kepada alam sekitar akan memberi kesan positif terhadap kewangan syarikat.


"Malaysia Airlines dan anak syarikat lain yang bernaung di bawah MAG telah memperkenalkan lebih 40 inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon sepanjang tiga tahun lalu – daripada penggunaan teknologi kapal terbang terkini (dengan kapal terbang A350-900), menaik taraf proses operasi, penggunaan bahan api yang mampan dan berusaha mencapai sasaran yang menjadi sebahagian daripada program Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA).


"Peristiwa penting ini membuktikan MAG mengambil langkah ke hadapan dalam usaha jangka panjangnya untuk berperanan lebih besar dalam usaha kelestarian alam sekitar untuk Malaysia dan industri penerbangan, seperti yang dizahirkan menerusi kerjasama dengan GSPARX," katanya.



Comments


bottom of page