top of page

TNB bakal bina bandar pintar di UNITEN


TNB bakal bina bandar pintar di UNITEN Berita Harian www.bharian.com.my
Bandar Pintar Sandbox di UNITEN akan dibangunkan dalam masa tiga hingga lima tahun

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang bekerjasama dengan beberapa syarikat hartanah untuk memajukan tanah seluas 240 hektar di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang menjadi Bandar Pintar Sandbox.


Cadangan pembangunan bandar pintar itu adalah sebahagian komitmen inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat utiliti nasional itu, yang dikongsikan pada Hari Pelabur TNB, semalam.


Penganalisis HLIB Research, Daniel Wong, yang menghadiri Hari Pelabur TNB itu berkata, bandar pintar itu akan menggabungkan pelbagai infrastruktur dan penyelesaian rintis ESG termasuk penjejakan dan pengawasan data masa nyata operasi bandar, membolehkan ekosistem sifar karbon bersih dan kemampanan.


"TNB akan bekerjasama dengan pemaju dan penyedia penyelesaian yang berpengalaman dan berfikiran jauh untuk projek itu. Bandar Pintar Sandbox akan menggabungkan ketersambungan, kecekapan tenaga, mobiliti dan garis panduan reka bentuk universal.


"Pembangunan sebegini diharap dapat menjadi contoh kepada pembangunan hartanah masa hadapan di Malaysia," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Hari Pelabur TNB 'Sifar Bersih 2050' mengetengahkan komitmen ESG syarikat utiliti itu ke arah mengurangkan 35 peratus pelepasan karbon menjelang 2035 dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.


Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank, Gan Huey Ling yang turut hadir pada Hari Pelabur TNB berkata, Bandar Pintar Sandbox akan menempatkan beberapa operasi unit perniagaan TNB seperti Allo dan GSparx.


Malah, beliau berkata, terdapat juga lot komersial yang ditawarkan untuk dijual di bandar pintar berkenaan.


"Bandar pintar itu antara lainnya akan mempunyai sistem perparitan yang mampan, sistem pengurusan tenaga rumah dan sistem mengecas kenderaan elektrik (EV).


"Ia akan dibangunkan dalam masa tiga hingga lima tahun. TNB masih berunding dengan rakan kongsi berpotensi bagi projek itu," katanya.


Sumber: Berita Harian



Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page