Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan ketersediaan hab rangkaian gentian optik baharu atau 'point of presence' (PoP) fasa satu, di seluruh wilayah utara, Sabah dan Sarawak.
PoP adalah titik pertemuan peranti berbeza yang terhubung antara satu sama lain dan ke Internet, atau secara ringkas, membawa akses gentian lebih dekat kepada pengguna.
Dengan menyediakan lokasi PoP berhampiran sekolah, penduduk di kawasan luar bandar dan terpencil boleh mendapatkan perkhidmatan Internet yang lebih baik dan pantas di rumah, dan bukan hanya bergantung pada internet mudah alih.
Ini akan meningkatkan akses dan ketersambungan Internet untuk lebih ramai orang dalam komuniti berkenaan.
Majlis pelancaran hab rangkaian gentian optik baharu TM itu disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di SMK Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah semalam.
PoP baharu itu adalah satu langkah penting dalam usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan menggalakkan keterangkuman di seluruh Malaysia.
Sebanyak 4,370 PoP telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana 4,323 PoP akan dibina berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP berhampiran kawasan perindustrian.
Fasa satu projek itu, membabitkan 677 lokasi dan selebihnya akan dilaksanakan di bawah fasa dua dalam tempoh tiga tahun, 2022 hingga 2025.
Sebanyak 233 PoP di bawah fasa satu telah siap dibina oleh TM secara 100 peratus, mendahului penyedia perkhidmatan lain.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abdul Karim berkata, PoP akan mewujudkan pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif, di samping meningkatkan pertumbuhan teknologi baharu seperti 5G dan teknologi komunikasi generasi baharu.
"Kami amat teruja melihat kemajuan dan pencapaian projek ini, yang dapat membawa manfaat dan peluang besar kepada komuniti setempat, termasuk peningkatan kualiti Internet, pembangunan ekonomi dan pembangunan infrastruktur baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Shazurawati berkata, melalui inisiatif ini, pengguna di kawasan PoP TM kini telah mencapai lebih 9,000 orang dan semakin terus meningkat.
Beliau berkata, sebanyak 58 pengguna TM adalah sekolah-sekolah yang telah melanggan perkhidmatan Unifi.
Katanya, kebolehcapaian internet yang meluas bukan sahaja membantu membangunkan ekonomi luar bandar tetapi yang lebih penting, ia membolehkan bahan pembelajaran dimuat turun, meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah, justeru akan melengkapkan generasi akan datang dengan pelbagai ilmu.
"Sebagai peneraju telekomunikasi negara, dan pemacu Digital Malaysia, TM komited untuk terus menyokong agenda pembangunan negara menerusi manfaat yang dibawa oleh ketersambungan dan penyelesaian digital, yang akan menyumbang kepada kadar penggunaan digital yang lebih tinggi serta pertumbuhan ekonomi baharu," katanya.
Kerjasama antara TM dan kerajaan menunjukkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk membawakan keterangkuman digital ke seluruh negara.
Untuk fasa kedua projek PoP, TM telah dilantik untuk melaksanakan projek di 174 lokasi di wilayah tengah.
Fasa ini dijangka dapat meningkatkan lagi sambungan digital dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Sumber: Harian Metro
Comments