top of page

Tiga sektor pekerjaan alami masalah kelesuan kritikal


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pekerjaan di bidang pengangkutan darat, pembinaan dan kesihatan adalah tiga sektor kritikal yang dikesan berhadapan dengan masalah kelesuan tidak kira di peringkat swasta mahupun awam


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pengurusan terhadap masalah itu perlu diberikan perhatian dan penekanan berikutan ia sering berlaku terutama membabitkan kemalangan bagi perjalanan ulang-alik.


Katanya, perkara itu dikenal pasti Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) yang berpendapat pekerja dalam tiga sektor itu berisiko menghadapi masalah kelesuan sehingga boleh menjejaskan tindak balas, keupayaan membuat keputusan dan hilang tumpuan ketika situasi kritikal.



“Disebabkan masalah kelesuan ini, secara puratanya setiap hari dua kemalangan maut berlaku membabitkan perjalanan ulang alik tempat kerja.


“Tahun lalu sahaja, sebanyak 35,195 kes kemalangan membabitkan perjalanan ulang alik tempat kerja dengan 666 daripadanya adalah kemalangan maut seperti didedahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika hadir pada Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan bagi Anggota Kesihatan Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.


Mahfuz yang juga pengerusi MNKKP berkata, sebagai permulaan kempen itu dilaksanakan khusus untuk sektor kesihatan berikutan bidang itu bergantung kepada faktor bebanan emosi, mental dan fizikal sekali gus berisiko berhadapan pelbagai kemungkinan.


“Program ini akan diteruskan di sektor pengangkutan darat dan pembinaan.


“Selaku badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan dasar negara berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan, MNKKP sentiasa mengadakan inisiatif dan usaha bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.


Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan memandang serius hal ini terutama apabila terdapat peningkatan bilangan kemalangan semasa dalam perjalanan ulang-alik membabitkan anggota kementeriannya.


“Kes kemalangan semasa dalam perjalanan ulang-alik membabitkan anggota kementerian kesihatan pada tahun 2018 adalah sebanyak 630 kes, berbanding 193 pada 2014.


“Kira-kira 81 peratus kes pada tahun 2018 berpunca daripada kesilapan manusia dan salah satu punca kesilapan manusia ini adalah faktor kelesuan.


“Hal ini memberi kesan kepada keselamatan pesakit terutamanya bagi isu seperti kesilapan, kelalaian dan sebagainya,” katanya.



179 views

Komentarze


bottom of page