KUCHING: Tiga projek kerja naik taraf sistem perparitan utama di Desa Wira Sinar Budi Baru di Batu Kawa berjalan lancar dengan pembinaan kini mendahului jadual.
Tiga projek atas usaha proaktif Timbalan Premier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kawa Datuk Amar Dr Sim Kui Hian itu melibatkan pembinaan dan penambahbaikan 3,843.6 meter sistem perparitan dengan jangkaan tarikh siap pada Februari 2025.
Dr Sim dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, beliau berpuas hati dengan kemajuan pembinaan longkang baharu iaitu konkrit berbanding longkang tanah pada asalnya sejak skim penempatan semula itu bermula 40 tahun lalu.
Beliau dalam pada itu mengingatkan kontraktor untuk mengekalkan standard kualiti tinggi sepanjang projek itu yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk tempatan.
"Isu perparitan adalah proses berterusan, terutamanya dengan peningkatan hujan dan pembangunan di kawasan sekitar.
"Kerajaan Sarawak sentiasa meneroka dan melaksanakan penyelesaian yang berkesan untuk mengurangkan dan mengurangkan risiko banjir," kata Dr Sim.
Tiga projek yang sedang dijalankan termasuk naik taraf perparitan di sepanjang Lorong Desa Wira 17B1 dan 17B2 dengan peruntukan lebih RM3.54 juta, naik taraf perparitan di sepanjang Lorong Desa Wira 17B3 dan 17B4 (lebih RM3.27 juta) dan naik taraf saliran untuk Lorong Desa Wira 17A6 (lebih RM4.37 juta).
Menurut pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak yang meninjau projek-projek itu pada Jumaat, jangkaan kemajuan bagi sistem perparitan Lorong Desa Wira 17B1 dan 17B2 ialah 52.06 peratus, tetapi kadar siap sebenar telah mencapai 53.21 peratus.
Manakala bagi kerja-kerja perparitan Lorong Desa Wira 17B3 dan 17B4 telah mencapai 58.45 peratus, jauh mendahului sasaran 52.10 peratus, semantara naik taraf Lorong Desa Wira 17A6 yang dijangka mencapai 42.93 peratus, telahpun mencapai 43.89 peratus siap.
Di samping itu, sebagai sebahagian daripada sistem perparitan Desa Wira dan pelan tebatan banjir kilat, sebuah kolam tadahan akan dibina di kawasan tersebut.
Projek komprehensif itu, termasuk menaik taraf sistem perparitan sekitar, akan menelan belanja RM20 juta.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Projek Rakyat’ Kerajaan Sarawak yang dijangka mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan.
Bersama-sama dengan projek kolam tadahan lain (MJC dan Pines Square) yang menelan belanja lebih RM40 juta, ia akan meningkatkan keseluruhan tebatan banjir di Batu Kawa.
Sumber: Utusan Borneo
תגובות