Kuala Lumpur: Tiga kerajaan negeri iaitu Terengganu, Sarawak dan Kedah setakat semalam mengesahkan empangan mereka selamat dan tidak berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat.
Ini susulan pemeriksaan berkala yang dilakukan pakar teknikal menunjukkan keadaan empangan masih terpelihara, manakala kerosakan berlaku di empangan lain pula sudah diperbaiki.
Di Kuala Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat, berkata kerja pembaikan cerun, runtuhan bukit dan kerosakan infrastruktur Empangan Kenyir ketika banjir akhir Februari serta awal Mac lalu sedang dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kita akui banjir akhir Februari dan awal Mac lalu menyebabkan kerosakan infrastruktur termasuk Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir.
"Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sudah memohon peruntukan bagi membaiki kerosakan jalan, cerun dan jambatan di seluruh negeri di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR) berjumlah RM135.642 juta," katanya di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Kelmarin, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, Empangan Kenyir antara dikenal pasti berisiko dan mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk serta harta benda jika berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya.
Hanafiah berkata, kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur pengairan dan saliran sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membabitkan peruntukan RM62.705 juta.
Katanya, lawatan tapak dan mesyuarat status kerja baik pulih SJSM Kenyir oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilakukan pada 29 Ogos lalu.
"Peruntukan dimohon sudah diluluskan dan sebahagian kerja pembaikan siap dilakukan. Pemantauan kerosakan di lokasi lain berhampiran Empangan Kenyir juga sedang dilakukan," katanya.
Pakar pelbagai agensi teknikal
Di Kuching, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, Empangan Hidroelektrik Bakun di Belaga yang mampu menjana antara 1,700 Megawatt (MW) hingga 2,110 MW yang beroperasi pada 2014, disahkan baik dan selamat oleh Flying Squad, iaitu pasukan khas keselamatan empangan diselaraskan NRECC yang meninjau empangan itu pada Oktober 2022.
Katanya, hasil tinjauan dilakukan pakar pelbagai agensi teknikal mendapati empangan dalam keadaan baik dan selamat, seperti dikongsikan dalam pembentangan kepada pemilik dan pengendali Empangan Hidroelektrik Bakun, Sarawak Energy.
"Loji Hidroelektrik Bakun memenangi Pengendali Empangan Terbaik di bawah kategori Program Keselamatan Empangan 2023 pada Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan pada Mac lalu, adalah antara empangan terpilih untuk menjalani audit dilakukan Flying Squad keselamatan empangan tahun lalu.
"Loji ini juga penerima Anugerah Keselamatan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dan pemenang Anugerah Prime Minister's Hibiscus (PMHA) Piala Cabaran 2023 dan Anugerah Pencapaian Cemerlang 2023," katanya.
Julaihi berkata, kemudahan tenaga hidro Sarawak Energy direka bentuk mengikut piawaian teknikal tertinggi antarabangsa bagi ketahanan dan keselamatan.
Katanya, projek kuasa hidro direka mengikut garis panduan diwujudkan Jawatankuasa Antarabangsa bagi Empangan Mega (ICOLD), iaitu badan antarabangsa ditubuhkan pada 1928 untuk berkongsi pengetahuan serta menetapkan piawaian dan garis panduan bagi memastikan empangan dibina dan dikendalikan dengan selamat.
"Garis panduan itu juga digunakan untuk memastikan keselamatan empangan di seluruh dunia termasuk kawasan aktif seismik di dunia seperti Himalaya dan Jepun.
"Selain audit dijalankan Flying Squad itu, Sarawak Energy juga melantik perunding kuasa hidro antarabangsa bebas untuk menjalankan audit Semakan Keselamatan Empangan bagi semua empangan hidronya setiap lima hingga tujuh tahun mengikut keperluan ditetapkan MyDAMS (Malaysia Dam Safety Management) dan Garis Panduan ICOLD (the International Committee on Large Dams)," katanya.
Katanya, kali terakhir semakan keselamatan empangan dilakukan di Bakun pada Oktober 2022 mendapati ia dalam keadaan baik dan selamat.
Sementara itu, di Alor Setar, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan penduduk dan harta benda di kawasan sekitar empangan berikutan ada infrastruktur berusia lebih 50 tahun.
Beliau berkata, pihaknya sudah diberi taklimat mengenai kedudukan semasa dua empangan di Kedah, iaitu Empangan Muda dan Empangan Ahning pada 2021, termasuk langkah menghadapi kecemasan jika berlaku bencana.
"Empangan di Kedah diselia Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan JPS. Taklimat kedudukan semasa empangan di Kedah dan perancangan menghadapi kecemasan diberikan MADA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Langkah menghadapi situasi itu akan dikendalikan berdasarkan arahan tetap MKN 20. Buat masa ini, MADA dan JPS berkeyakinan struktur dan sistem empangan kukuh yang tidak mengancam keselamatan.
"Namun, langkah berjaga-jaga perlu diambil memandangkan terdapat empangan melebihi usia 50 tahun," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Sumber: Berita Harian
Tiga negeri sahkan empangan selamat
Comments