KUALA LUMPUR: Niat tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang mahu membantu seorang wanita hamil dihempap struktur tangga runtuh bertukar tragedi apabila ketiga-tiga mereka maut akibat terkena renjatan elektrik.
Kejadian berlaku di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, tengah hari Ahad.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.57 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
"Berdasarkan laporan, struktur tangga separa siap rumah itu tiba-tiba telah runtuh dan menghempap mangsa wanita, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, yang ketika itu kebetulan berada di situ.
"Kejadian itu menyebabkan Mohd Radezi Abdul Aziz, 34, Shahril Apipie Mokhtar, 29, dan Bambang Sulistio cuba membantu mangsa namun tidak menyedari terdapat arus elektrik di kawasan runtuhan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut, PGO Bomba Selangor berkata, tiga mangsa yang cuba membantu itu maut di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik, manakala Wan Haseliza terkorban akibat dihempap runtuhan berkenaan.
"Kesemua mangsa terlibat telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," jelas kenyataan itu.
Sumber: Astro Awani
Comments