SHAH ALAM – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menambah tiga lorong baharu kenderaan bagi mengatasi kesesakan teruk laluan Persiaran Mokhtar Dahari di sini, sejak dua minggu lalu.
Dua fasa pelebaran jalan sedia ada itu dijangka memperuntukkan kos keseluruhan berjumlah RM35 juta.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor berkata, JKR akan membuat laporan teknikal secara terperinci mengenai projek penambahan lorong tersebut.
Kata beliau, kos peruntukan projek itu bakal diajukan pihaknya kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.
“Fasa pertama yang perlu disegerakan meliputi tambahan satu lorong di laluan menghala ke Puncak Alam.
“Kita menjangkakan projek pertama akan dilaksanakan awal tahun depan sebelum diteruskan dengan fasa kedua kelak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, petang semalam.
Kosmo hari ini melaporkan lebih 100,000 pengguna laluan Persiaran Mokhtar Dahari memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada yang sesak teruk pada waktu puncak.
Tambahnya, laluan itu merupakan jalan rizab kerajaan dan boleh memuatkan enam lorong secara keseluruhannya.
“Laluan berbukit selepas kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ketika ini hanya mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua arah.
“Bagi jangka masa pendek, satu lorong sejauh 800 meter akan dibina terlebih dulu sebelum disambung dengan dua lorong lain,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik tidak menyalahkan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Justeru, saya berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan projek pelebaran jalan itu demi keselesaan penduduk setempat.
“Saya meminta pengguna supaya dapat bersabar dan memberi ruang kepada pihak bertanggungjawab untuk membina lorong baharu,” katanya.
Sumber: Kosmo!
Comments