KEBAKARAN tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani dijangka padam sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi.
Seluas 1.2 hektar daripada lebih empat hektar tapak pelupusan itu terbakar sejak 20 Januari lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini 80 peratus kawasan kebakaran sudah dipadam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah dibantu JBPM Pulau Pinang, Perak dan helikopter Unit Udara JBPM.
Katanya, pasukan turut menggunakan jentolak untuk mengabus sampah.
“Cuma kita sebenarnya kekurangan jentolak dan sebab itu kita minta kerjasama semua, (termasuk) Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah untuk menghantar jentolak bagi membantu kerja memadam di sana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darulaman di Alor Setar, hari ini.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan membuat rancangan pengurusan tapak pelupusan sampah secara holistik bagi mengelak diceroboh.
Beliau memandang serius pencerobohan yang menyebabkan kebakaran berskala besar selain, isu lain berkaitan.
“Kadang-kadang kontraktor yang menguruskan tapak pelupusan sampah pun tak patuh syarat,” katanya.
Susulan kebakaran itu, polis menahan lelaki berusia 35 tahun pada 24 Januari lalu.
Sumber: Harian Metro
Comments