PORT DICKSON 28 Julai - Dua lelaki dan seorang wanita melecur apabila sebuah mesin yang sedang dibaiki mereka meletup di sebuah kilang di Kawasan Industri Lukut, Batu 6, Jalan Seremban di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu mengakibatkan dua mangsa, T. Murugan, 44, dan K. Thiruselvam, 46, masing-masing melecur di badan sebanyak 95 dan 70 peratus, manakala seorang mangsa wanita, P. Ralyan, 40, melecur 85 peratus.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, letupan melibatkan tong silinder nitrogen pada sebuah mesin generator hidraulik yang dalam pembaikan di kilang yang menyelenggara jentera pembinaan itu.
“Ketiga-tiga mangsa yang berada berdekatan dan sedang membaiki mesin tersebut terkena letupan dan mengalami kecederaan.
“Mereka bukan pekerja di kilang itu sebaliknya datang untuk membaiki mesin yang masih belum digunakan itu. Pekerja-pekerja kilang yang kebanyakannya warga asing tidak cedera dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Hairul Izam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.25 malam dan sebuah jentera dengan lapan pegawai serta anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 10.28 malam.
“Apabila sampai, pihak bomba mendapati kebakaran kecil yang berlaku telah dipadamkan oleh pekerja kilang menggunakan dua alat pemadam api,” katanya.
Beliau memberitahu, ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Utusan Malaysia
コメント