top of page

Tiada rancangan hentikan pemberimilikan tanah sekitar Kolam Takungan Banjir


Gambar hiasan

KERAJAAN Persekutuan tidak mempunyai perancangan untuk menghentikan pemberimilikan tanah di sekitar Kolam Takungan Banjir (KTB) di Kuala Lumpur kepada pihak swasta u tuk dimajukan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafaberkata keputusan itu diambil berdasarkan rekod tiada kawasan titik panas (hot spot) banjir kilat yang direkodkan di sekitar KTB selepas projek pembangunan diluluskan sejak tahun 2018.


”Antara contoh yang saya bawa adalah di sekitar KTB di bawah Parlimen Kepong. Contoh lain adalah di Kampung Periuk, Kampung Baru yang sebelum ini merupakan kawasan hot spot banjir dan setelah kita membuat binaan OSD, di situ kekerapan banjir yang berlaku sepanjang dua tahun kebelakangan ini sangat-sangat berkurangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) dalam sesi soalan menteri di parlimen hari ini.


Menurut Zaliha, pihak telah memohon kepada DBKL untuk membuat analisa bagi melihat sama ada terdapat hubungan langsung atau tidak diantara jumlah kebenaran merancang yang dikeluarkan dengan jumlah hotspot banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur.


“Hasil analisa akan dibentangkan di dalam Majlis Menteri Wilayah Persekutuan sendiri dan YB Seputeh juga ada dalam majlis tersebut dan kita boleh bincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.


Menurut Zaliha kira-kira lapan projek pembangunan yang telah diluluskan di kawasan persekitaran KTB sejak tahun 2014 melibatkan kolam Taman Wahyu, Kolam Delima, Tasik Metropolitan Kepong dan Tasik Damai Lake Fields.


“Saya akan memohon pegawai saya untuk mengemukakan senarai penuh projek-projek tersebut kepda Ahli Yang Berhormat.


“Jadi saya faham juga apa yang tersirat daripada soalan dari YB Seputeh, jadi saya ingin yakinkan, kita melaksanakan pemantauan di DBKL ini, terutamanya di kawasan-kawasan projek sekitar kolam takungan banjir yang telah diluluskan, dan selama ini kita dapati paras air masih dalam keadaan yang terkawal dan masih belum pernah berlaku kejadian banjir di situ,” katanya.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


bottom of page