top of page

Tiada perancangan rapi, campur politik, antara punca luar bandar mundur


Tiada perancangan rapi, campur politik, antara punca luar bandar mundur
Kajian UNIMAP mengenal pasti punca pembangunan luar bandar tidak berkembang dan berdepan isu kemunduran. Gambar hiasan BERNAMA

Tiada perancangan rapi, campur politik, antara punca luar bandar mundur

SEPANG: Ketiadaan perancangan rapi, kekurangan pegawai berkelayakan dan kuasa campur tangan politik menjadi antara punca pembangunan luar bandar di negara ini tidak berkembang dan berdepan isu kemunduran serta kemiskinan.


Perkara itu antara hasil kajian sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang mendedahkan, punca itu membuka kepada peluang rasuah terhadap sejumlah besar dana yang dilaburkan kerajaan untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar.


Ketua Penyelidik, Dr Nor'izah Ahmad, berkata meskipun banyak peruntukan diberikan kerajaan, namun luar bandar masih dilanda kemunduran akibat kegagalan penyampaian dan inisiatif yang dianjurkan, atas faktor manusia, sistem dan teknologi masa kini.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Dalam pelaksanaan pula kita dapati, pembangunan di luar bandar masih lagi membabitkan isu pecah kontrak.


"Dari segi pemantauan, kita juga dapati kualiti projek yang ada tidak setara dengan nilai projek, malah kita kesan kekurangan pegawai berkelayakan untuk pemantauan projek luar bandar, contohnya sepatutnya ada juruteknik khas tetapi ia tiada sehingga pegawai lain yang tidak layak terpaksa mengambil alih kerja itu. Jelas dia tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam pembentangan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2, di sini hari ini.


Nor'izah berkata, antara kelemahan lain yang dikesan dalam pembangunan luar bandar adalah tidak menangani aduan sehingga ia menimbulkan tanda tanya yang besar.


"Aduan diberikan oleh orang awam tetapi ia tidak menjawab dan kemungkinan hanya untuk 'kumpul' aduan sahaja," katanya.


Menyentuh mengenai pengaruh politik, beliau berkata, terdapat banyak campur tangan politik dalam projek luar bandar.


"Isu ini diketahui dengan nyata kerana mereka (orang politik) akan 'approach' kepada kementerian malah menyatakan mereka sendiri sudah disahkan untuk melakukan projek di situ.


"Apa yang berlaku adalah kontraktor yang sebelum ini disenarai hitamkan atas sebab projek sebelum ini tidak dilakukan atau tidak siap, diberikan projek itu. Ini berlaku disebabkan ada kepentingan politik.


"Begitu juga projek yang dilakukan untuk kepentingan sendiri contohnya membuat jambatan yang tidak perlu hanya disebabkan ia dekat dengan kebun ahli politik," katanya.


Nor'izah menjelaskan, isu campur tangan politik adalah sangat besar dalam kes pembangunan kawasan luar bandar.


Katanya, antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan adalah di peringkat dasar dan perundangan, pentadbiran serta pembangunan teknologi itu sendiri.


Laporan penyelidikan itu turut disediakan lima penyelidik lain iaitu Prof Dr Moh Fo'ad Sakdan (Univeriti Utara Malaysia), Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin (UNIMAP), Dr Noorazeela Zainol Abidin (UNIMAP) dan Dr Hirwan Jasbir Jaafar (UNIMAP).


Sumber: Berita Harian


Tiada perancangan rapi, campur politik, antara punca luar bandar mundur


Comments


bottom of page