Langkawi: Kerajaan negeri sentiasa memantau isu keselamatan kediaman dan infrastruktur kekal yang dibina dalam kawasan zon batu kapur di negeri ini kerana ia membabitkan nyawa rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap pembinaan yang berisiko mengancam nyawa.
"Kita sentiasa berpegang kepada peraturan dan garis panduan sedia ada dan ia menjadi rujukan utama bagi mana-mana agensi di negeri ini ketika membuat kelulusan sebarang pembinaan di kawasan risiko bencana geologi.
"Bagi pembinaan di kawasan zon batu kapur, khususnya permohonan baharu, tidak boleh tidak kita mesti ikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)," katanya.
Beliau mengulas laporan BH mengenai zon batu kapur membabitkan beberapa kawasan di negara ini yang dianggap sebagai 'bom jangka' kerana berisiko mengundang bencana runtuhan batu.
Laporan itu mendedahkan antara landskap batu kapur di negara ini ialah Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Geopark Langkawi, Kedah; Gunung Kanthan di Lembah Kinta, Perak dan Batu Caves di Gombak, Selangor.
Ambil tindakan wajar
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan terdapat pembinaan infrastruktur kekal dibina di kawasan Geopark Langkawi, Mohamad Yusoff berkata, kerajaan negeri akan meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Kawasan Geopark Langkawi khususnya di Kilim dan Tasik Dayang Bunting bukan kawasan penempatan kediaman, sebaliknya ia terkenal sebagai kawasan riadah dan pelancongan.
"Setakat ini belum ada laporan kejadian runtuhan batu di kawasan terbabit, namun kerajaan negeri menerusi agensi keselamatan sedia ada sentiasa berwaspada berkaitan risiko yang boleh berlaku bila-bila masa," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai yang berhasrat mengadakan aktiviti di kawasan bukit batu kapur sekitar Langkawi perlu peka dengan keadaan persekitaran bagi memastikan lokasi terbabit selamat.
"Sebelum beraktiviti, tinjau dahulu kawasan itu sama ada terdapat kesan runtuhan batuan, retakan besar pada dinding tebing atau bahaya-bahaya lain sebelum melakukan sebarang aktiviti di kawasan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilaporkan berkata kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memberi kelulusan sebarang permohonan baharu projek kuari di Baling bagi memastikan alam semula jadi yang menjadi tarikan pelancong di daerah itu tidak terjejas.
Beliau berkata, kelulusan sedia ada bagi projek kuari batu kapur, granit dan pasir yang diluluskan oleh pentadbiran negeri terdahulu turut ditangguhkan bagi mencari tapak alternatif di daerah itu.
Katanya, langkah itu seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Baling sebagai daerah ekopelancongan .
"Saya ingin maklumkan bahawa identiti Baling sudah ditetapkan sebagai daerah ekopelancongan. Maka sebarang projek yang boleh menjejaskan perancangan itu seperti permohonan kuari kita tidak akan pertimbangkan dan tangguhkan.
"Baling ini kaya dengan permohonan kuari antaranya melibatkan batu kapur, granit dan pasir. Kalau permohonan baharu memang kita akan tolak.
"Yang sudah diluluskan pula, kita tangguh untuk cari ganti di tempat lain. Kita nak pastikan kawasan tumpuan seperti gua di sepanjang Gunung Baling tidak terjejas dengan projek ekonomi perseorangan atau syarikat hingga mendatangkan kesan negatif terhadap daerah itu," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu.
Sumber: Berita Harian
Tiada kompromi pembinaan berisiko ancam nyawa
Comments