GUA MUSANG - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan tiada gangguan aliran trafik berlaku di lebuh raya akibat kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan termasuk di projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjelang hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pada 12 Ogos ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya menjangkakan kenderaan perantau akan mula memasuki daerah ini pada 11 Ogos, justeru kerja-kerja pembinaan akan dihentikan lebih awal.
"Semua lebuh raya kita minta tidak ada kerja yang boleh menyebabkan trafik tergendala sekurang-kurangnya seminggu sebelum PRN,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Projek LTU di Kilometer 251 (FT008) berhampiran jambatan Felda Chiku 3 di sini pada Ahad.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya sentiasa membuat pemantauan ke atas projek LTU yang melibatkan jarak perjalanan lebih 360 kilometer demi keselesaan pengguna jalan raya yang lain dan pembinaan LTU yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) menuju ke Kelantan, berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, pengguna jalan raya akan menghadapi sedikit gangguan trafik selama dua hari di kawasan Felda Chiku sehingga ke Paloh (FT008) pada 1 hingga 2 Ogos ini, berikutan kerja-kerja pemasangan lima rasuk jambatan baru merentasi Sungai Chiku bagi projek LTU Pakej 2 Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Seksyen 2B: Paloh 2 Ke Bukit Sejuk.
Katanya, sebagai alternatif pengguna boleh menggunakan jalan FT 1744 (Jalan Felda Aring) bagi laluan Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
"Walau bagaimanapun pemasangan rasuk tersebut tidak akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk memandangkan ia tidak dilaksanakan pada waktu puncak, sebaliknya akan dilakukan secara berperingkat mengikut waktu yang ditetapkan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, pakej ini adalah satu daripada projek cepat dilaksanakan bagi kemudahan rakyat Pantai Timur khususnya dari Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang dan terus ke Lipis, Raub dan Bentong.
"Kita sebenarnya sasarkan siap selewatnya awal 2026 yang melibatkan semua pakej daripada Kota Bharu sehinggalah ke lebuh raya Karak Kuala Lumpur atau Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Tiada kerja selenggara, baiki jalan menjelang hari mengundi - KKR
Comments