KUALA LUMPUR 21 Nov - Theta Edge Berhad memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan firma pelaburan teknologi antarabangsa, ZICT Technology Co Ltd bagi meneroka peluang pelaburan pembangunan projek bandar pintar Malaysia.
Syarikat teknologi itu berkata, pelaburan ZICT dalam bandar pintar negara akan mengutamakan Bandar Pintar Ampang Jaya yang diambil alih oleh Theta Edge Bhd pada Julai 2024.
Katanya, kerjasama ini menggariskan komitmen kukuh antara kedua-dua syarikat itu bagi memacu pendigitalan kawasan bandar Malaysia.
"Dengan memanfaatkan kepakaran Theta Edge dalam teknologi dan rumusan bandar pintar dan keupayaan pelaburan ZICT, perkongsian ini bertujuan untuk menyampaikan rumusan bandar pintar yang inovatif, mampan dan mengutamakan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Theta Edge berkata, projek Bandar Pintar Ampang Jaya disasar untuk menjadi bandar bersepadu.
"Projek ini akan merangkumi infrastruktur termaju, mobiliti pintar, sistem cekap tenaga dan perkhidmatan awam yang dipertingkatkan, meletakkan Ampang Jaya sebagai model bagi inisiatif bandar pintar masa depan.
"MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka rumusan inovatif dalam bidang seperti Internet Kebendaan (IoT), analisis data besar, kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan tenaga mampan yang bakal memacu pertumbuhan infrastruktur bandar pintar," katanya.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, kerjasama dengan ZICT mampu memberi peluang kumpulan untuk menggabungkan kepakaran teknologinya dengan keupayaan pelaburan ZICT.
"Ini akan membolehkan kami mempertingkatkan inisiatif bandar pintar kami dan mewujudkan persekitaran bandar yang memberi impak," katanya.
Sementara itu, Theta Edge Berhad dan ZICT merancang untuk menerokai peluang lain yang bukan sahaja memajukan projek Ampang Jaya Smart City tetapi juga mengembangkan skop pembangunan bandar pintar di seluruh Malaysia.
Sumber: Dagang News
Comentarios