top of page

Terminal LTSAS akan dinaik taraf jadi lebih moden


Terminal LTSAS akan dinaik taraf jadi lebih moden
Gambar hiasan: Terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS)

Terminal LTSAS akan dinaik taraf jadi lebih moden

IPOH - Terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini akan dinaik taraf menjadi lebih moden sebagai persediaan menerima penambahan penerbangan sempena Tahun Melawat Perak tahun hadapan.


Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, permohonan kebenaran bagi pengubahsuaian itu telah dikemukakan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) antaranya melibatkan kemudahan pengisian bahan api pesawat, penyediaan alternatif makanan dan minuman (F&B) dalam penerbangan serta jejambat pesawat.


Menurutnya, semua kemudahan berkenaan tidak tersedia di LTSAS sejak sekian lama menyebabkan syarikat penerbangan berdepan kekangan dalam mendapatkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik di lapangan terbang tersebut.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Kerajaan negeri sudah pun diberikan taklimat oleh kontraktor yang berminat untuk melaksanakan projek ini di bawah skim Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kos dianggarkan RM100 juta.


"Jika perbincangan dengan MAHB dapat diselesaikan sebelum akhir bulan ini, maka mereka (kontraktor) beri keyakinan jika tidak dapat disiapkan dalam tempoh akhir tahun ini pun, mereka akan cuba sekurang-kurangnya mendapatkan pertambahan penerbangan berlipat kali ganda daripada sedia ada," katanya.


Buat masa ini, LTSAS menyediakan penerbangan antarabangsa Singapura ke Ipoh selain penerbangan domestik ke Johor Bharu dan Langkawi.


Mohammad Nizar berkata, antara penerbangan baharu yang dalam peringkat rundingan adalah dari Indonesia, Vietnam, China Selatan, India dan Manila.


Katanya, meskipun berlaku penambahan penerbangan, kerajaan negeri belum ada perancangan untuk melebar dan memanjangkan landasan sedia ada.


"Landasan sedia ada sepanjang dua kilometer ini mampu dan boleh digunakan bagi tambahan penerbangan ini.


"Fokus kita sekarang adalah untuk memodenkan blok terminal sahaja supaya kita lebih bersedia menerima penambahan penerbangan selain pelancong yang datang dapat menikmati perkhidmatan lebih baik yang ada di lapangan terbang," katanya.


Pada Ahad, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan syarikat penerbangan bagi mewujudkan lebih banyak penerbangan baharu melibatkan destinasi dari beberapa negara di Asia terus ke Ipoh.


Usaha itu dilakukan bagi merancakkan lagi kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.


Sumber: Sinar Harian


Terminal LTSAS akan dinaik taraf jadi lebih moden

Comments


bottom of page