KEMAMAN: Kerajaan negeri membangunkan sebuah projek pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur dengan kos RM102.7 juta di kawasan Teluk Kalong, dekat sini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang dibina bermula Julai tahun lalu dan dijangka siap pada 2026 itu dilaksanakan dengan usahasama syarikat swasta, Arus Juta Sdn. Bhd. di atas tanah berkeluasan kira-kira 23 hektar.
Menurutnya, projek tersebut merangkumi 484 rumah mampu milik, 103 unit rumah teres dua tingkat dan 14 unit kedai pejabat.
“Perumahan ini juga tidak hanya memfokuskan kepada perumahan mampu milik, tetapi akan memberi peluang kepada rakyat golongan M40 dan juga T20 untuk memiliki rumah kediaman,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik dan Bercampur di Teluk Kalong, petang semalam.
Dr. Ahmad Samsuri berkata, kawasan perumahan tersebut juga akan dilengkapi beberapa fasiliti termasuk surau, dewan serbaguna dan taska.
Ditanya mengenai kawasan tersebut yang berisiko banjir, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mengambil kira pelbagai aspek bagi mengelak banjir berlaku di kawasan tersebut.
“Projek pembinaan jambatan dan saliran baharu di Teluk Kalong yang sebelum ini dijadualkan bermula September, akan mula dijalankan bulan depan.
“Kos projek tersebut sebanyak RM12.5 juta telah diluluskan Kerajaan Pusat dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan,” ujarnya.
Sumber: Utusan
Comentarios