top of page

Terengganu bakal miliki Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir


Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir Terengganu, projek tenaga boleh diperbaharui menghasilkan 2,000 MW elektrik, menyokong tenaga hijau.
Gambar hiasan: Ladang solar Empangan Chenderoh, Manjung

Berita terkini industri pembinaan di Malaysia - dari Ladang Solar Terapung hingga projek infrastruktur utama negara.

Kuala Berang: Ladang Solar Terapung (LST) di Tasik Kenyir antara 111 projek berimpak tinggi yang bakal dibangunkan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tasik buatan berkeluasan 38,000 hektar itu berfungsi sebagai sumber tadahan air dan pemangkin kepada tenaga elektrik.


Menurutnya, kerajaan negeri melihat tasik berkenaan boleh dimajukan sebagai sumber ekonomi melalui sektor ekopelancongan serta berpotensi sebagai sumber tenaga hijau.


Katanya, ia selari dengan hasrat pimpinan negeri untuk tidak bergantung kepada industri minyak dan gas serta beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.


"Justeru, kerajaan negeri memulakan langkah proaktif dengan membangunkan projek LST di Tasik Kenyir bagi meningkatkan pendapatan negeri dan daerah ini.


"Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif PLANMalaysia yang mengambil kira cadangan tenaga boleh diperbaharui LST di Tasik Kenyir, yang disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi.


"LST yang akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang dijangka dapat menghasilkan sehingga 2,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang mana fasa pertama sebanyak 400 MW mampu dihasilkan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu (DRTDHT) 2035 (Penggantian), di sini, hari ini.


Wan Sukairi berkata, anggaran kos keseluruhan 111 cadangan pembangunan DRTDHT bernilai RM14.08 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 11 tahun.


Katanya, ia membabitkan 10 projek berimpak tinggi bernilai RM11.29 bilion, 59 projek 'enabler' (pembolehan) berjumlah RM2.39 bilion dan 42 projek 'quick win' bernilai RM387.57 bilion.


"Antara projek berimpak tinggi yang berada di dalam DRTDHT adalah menaik taraf jalan raya antara Tasik Kenyir ke Aring hingga sempadan Kelantan, selain Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir yang akan dibangunkan sebagai geopark," katanya.


Katanya, pengurusan bencana berasaskan komuniti turut diberi perhatian bagi memperkasakan komuniti supaya bergerak aktif dan bersiap siaga dalam mendepani bencana selain mengurangkan impak risiko.


Sumber: Harian Metro


Terengganu bakal miliki Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir

6 views

Comments


bottom of page