Kota Bharu: Projek pembinaan tembok sempadan Kelantan-Thailand dianggar mencecah RM445.748 juta termasuk kos pengambilan tanah, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, cadangan pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir itu sangat relevan dan bermanfaat untuk tempoh jangka panjang selain, membantu perkembangan ekonomi negeri.
"Kelantan serius untuk menangani dan membanteras jenayah penyeludupan serta mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok iaitu sepanjang 99 kilometer (km).
"Jadi, pembinaan tembok sempadan Kelantan, Malaysia–Thailand terutamanya bagi tujuan keselamatan sempadan negara amatlah penting bagi mengelakkan jenayah rentas sempadan berleluasa.
"Pembinaan tembok sempadan itu dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM445.748 juta termasuk pengambilan alihan tanah di kawasan yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama Kerajaan Negeri Kelantan yang dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, pembinaan tembok sempadan di Kelantan-Thailand perlu dibincang dan dimuktamadkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, sebagaimana tembok keselamatan di sebelah utara, yang turut diputuskan di peringkat MKN.
Sumber: Harian Metro
Comments