top of page

Telaga minyak Gemusut-Kakap mula pengeluaran


Telaga minyak Gemusut-Kakap mula pengeluaran Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan telaga minyak laut dalam Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) iaitu Fasa 3 Gumusut-Kakap (GK) di luar pesisir Sabah, mencatat pengeluaran minyak pertamanya pada 31 Julai 2022.


Dalam satu kenyataan, syarikat minyak dan gas negara itu berkata Sabah Shell Petroleum Co Ltd adalah pengendali projek GK dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn Bhd, ConocoPhilips Sabah Ltd, PTT Exploration and Production Public Company Ltd dan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi.


Dalam usaha itu, dua telaga pengeluar minyak baharu serta dua telaga penyuntik air telah digerudi.


Menurut Petronas, apabila siap sepenuhnya dalam suku pertama 2023, empat telaga terbabit akan menambah kira-kira 25,000 tong sehari kepada kapasiti pengeluaran GK yang sedia ada.


"Petronas amat berbangga dengan kegigihan kontraktor pengatur petroleum, termasuk penyedia perkhidmatan yang dengan sokongan kukuh kerajaan negeri Sabah, telah berjaya mengatasi cabaran projek tersebut terutama ketika kemuncak pandemik.


"Ini jelas membuktikan ketahanan ekosistem minyak dan gas tempatan. Biarpun kawasan cetek terus menyokong pengeluaran negara, (prospek) masa depan sebaliknya bergantung kepada peranan laut dalam yang menjadi satu perempat daripada jumlah keluasan luar pesisir kita," kata Naib Presiden Kanan Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Mohamed Firouz Asnan.


PETRONAS menerusi MPM, menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia selain menyediakan pengurusan aktiviti huluan petroleum.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page