top of page

Teknologi penyahgaraman air laut, bantu atasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah


Teknologi penyahgaraman air laut, bantu atasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah
Teknologi penyahgaraman air laut akan dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya di Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), bagi menangani masalah kekurangan bekalan air di universiti berkenaan. - Foto ihsan UMSKAL

Teknologi penyahgaraman air laut, bantu atasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah

KOTA KINABALU: Teknologi desalinasi atau penyahgaraman air laut berpotensi digunakan bagi membantu mengatasi kekurangan bekalan air yang dihadapi warga kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya di Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).


Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memiliki kepakaran dalam pemprosesan air laut bagi melaksanakan projek menghasilkan air tawar.


Katanya, UMSKAL dipilih sebagai perintis projek itu memandangkan kampus berkenaan berdepan masalah bekalan air bersih yang sudah lama berlarutan.


"UTM bersedia untuk menawarkan khidmat kepakaran teknologi membran dan proses desalinasi air laut bagi mengatasi isu bekalan air yang dihadapi UMSKAL.


"Lawatan tapak di UMSKAL akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti secara signifikan isu bekalan air di kampus itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Prof Kasim berkata, kepakaran UTM itu sebelum ini digunakan di 53 sekolah pedalaman seluruh negara, termasuk projek penyahgaraman air laut di Kampung Pantai Senok, Bachok, di Kelantan, sejak 2017.


Jelasnya, sistem yang dibangunkan UTM di kampung itu mampu mengeluarkan 500,000 liter sehari air bersih daripada air laut.


Mengulas lanjut, Prof Kasim berkata, sistem itu jika dilaksanakan di UMS, dijangka mampu mengatasi kekurangan bekalan air bersih yang dialami kira-kira 3,000 pelajar UMSKAL ketika ini.


Difahamkan, UMSKAL sudah lama berdepan masalah air bersih berikutan punca air yang terhad di pulau bebas cukai itu.


Ketika ini, bekalan air bersih di pulau itu kebanyakannya bergantung kepada air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA) di Sungai Padas, di Beaufort.


Sumber: Berita Harian


Teknologi penyahgaraman air laut, bantu atasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah

Comments


bottom of page