top of page

Teknologi Gamuda bantu kerajaan bina rumah mampu milik


Gambar hiasan

BANTING: Teknologi sistem binaan berindustri (IBS) digital yang dilaksanakan di kilang Gamuda di sini akan membantu matlamat kerajaan membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.


Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling, berkata kumpulan berusaha untuk meningkatkan dan mengubah industri pembinaan dengan penggunaan kaedah industri 4.0 menerusi platform Model Maklumat Bangunan (BIM).


“Gamuda adalah antara pengamal platform BIM terawal dan melaksanakan model tiga dimensi dalam pembinaan bawah tanah untuk projek Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang sejak 2012.

“Kilang IBS digital menjadi evolusi platform BIM dalam talian. Di kilang kami, proses reka bentuk maya yang dilakukan robot di bahagian pengeluaran hasil arahan daripada arkitek dan jurutera untuk menghasilkan komponen berketepatan tinggi sebelum dipasang di tapak pembinaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kilang IBS digital Gamuda di sini, hari ini.


Ia dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir turut meluangkan masa mendengar taklimat oleh arkitek sebelum melawat kilang yang mempamerkan keupayaan membina 10,000 unit rumah dan 16,000 pod bilik mandi setahun.


Kilang seluas 27 hektar adalah kemudahan IBS terkini di Malaysia yang menyepadukan peralatan reka bentuk dalam talian dan platform Model Maklumat Bangunan (BIM) dengan mesin robotik terkini untuk pembinaan bangunan.


Sama seperti kilang perintis milik Gamuda di Sepang yang beroperasi sejak 2016, panel konkrit dihasilkan dengan ketepatan tinggi menerusi kilang Gamuda IBS itu.

Komponen yang dihasilkan termasuk struktur bangunan dan kini pod bilik mandi dapat dikeluarkan sepenuhnya sebelum dipasang di tapak pembinaan seperti pemasangan bongkah lego.


Menerusi kemampuan Gamuda IBS, kilang berkenaan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh sebanyak 70 peratus dan mengekalkan 85 peratus tenaga tempatan yang dilatih Gamuda IBS hasil kerjasama Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta agensi kerajaan.



Comments


bottom of page