top of page

TCS tunggu penilaian kesan perintah pemberhentian kerja projek J. Satine



KUALA LUMPUR 22 Nov - TCS Group Holdings Bhd (TCS) memaklumkan, pihaknya tidak dapat menentukan sejauh mana kesan yang mungkin dihadapi akibat perintah penghentian kerja ke atas projek pembangunan bercampur J. Satine di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir Tee Chai Seng dalam jawapan e-mel kepada Business Times berkata, syarikat tidak dapat menentukan perkara itu ketika ini dan perlu menunggu sehingga penilaian bebas diselesaikan. 


Jelas beliau, tempoh kelewatan projek akan ditentukan selepas penilaian tapak bebas selesai.


Apabila ditanya mengenai kemungkinan lebihan kos akibat kelewatan itu, beliau menjawab, syarikat bukan pihak yang sesuai untuk menjawab soalan tersebut. 


"TCS melalui TCS Construction Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama bagi kerja pembinaan bangunan utama sahaja.


"Kami tidak dapat memberikan butiran lanjut pada ketika ini. Maklumat tambahan akan dikeluarkan selepas penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa selesai," katanya.


Perintah penghentian kerja yang dikeluarkan pada 8 November 2024 itu dibuat berikutan laporan mengenai letupan yang didakwa menyebabkan kerosakan struktur di tapak projek. 


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan penyiasatan dan menemui retakan pada dinding, tiang dan lantai dari tingkat kelapan dan ke atas.


DBKL telah mengarahkan pemaju untuk menjalankan pemeriksaan penyelenggaraan, memastikan keselamatan tapak dan melantik jurutera bebas untuk menilai integriti struktur keseluruhan projek, dengan laporan menyeluruh diperlukan.


Perintah penghentian kerja itu akan kekal sehingga semua arahan DBKL dipatuhi.


Projek J. Satine merangkumi 3,600 unit rumah mampu milik, 661 unit SoHo dan 42 lot komersial, serta merupakan usaha sama antara Platinum Victory Group dan Gandingan Jakel Sdn Bhd, anak syarikat hartanah Jakel Group.


Dalam kenyataan pada Isnin, Jakel menyatakan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan DBKL untuk menangani kebimbangan di projek J. Satine.


Pemaju berkata, tindakan segera telah diambil untuk mematuhi peraturan bangunan, termasuk melantik perunding bebas untuk penilaian struktur, memasang sokongan sementara, mempertingkatkan langkah keselamatan dan menjalankan pemeriksaan harian.


Menurut Jakel, penilaian struktur awal hampir siap, dengan pemeriksaan kualiti lanjut dan langkah pemulihan yang akan diambil di bawah pengawasan perunding projek.


Syarikat itu juga menjelaskan melalui halaman FAQ mereka bahawa tiada letupan yang berlaku dan tiada risiko yang timbul kepada bangunan atau infrastruktur berdekatan.


"Siasatan menyeluruh oleh perunding pihak ketiga sedang dijalankan. Kami sedang berusaha dengan gigih untuk menilai dan menentukan langkah terbaik yang perlu diambil. 


"Kami menjangkakan laporan penuh akan siap dalam beberapa bulan akan datang. Laporan ini akan memperincikan sejauh mana isu ini berlaku serta mencadangkan tindakan pemulihan yang spesifik," tambahnya.


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page