SAUDARA PENGARANG,
SEBANYAK 171,133 permohonan penggajian pekerja asing diterima oleh Kementerian Sumber Manusia setakat 2 Mac lalu sejak mula dibuka pada pertengahan Februari.
Namun, agak membimbangkan apabila melihat kepada angka permohonan terutama bagi sektor perkilangan yang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 118,967.
Sekiranya pekerja asing begitu mudah dibawa masuk seperti zaman sebelum pandemik Covid-19 melanda, maka sukar untuk majikan di sektor perkilangan bergerak ke arah penggunaan automasi secara meluas.
Malaysia tidak lagi sesuai untuk menjadi negara yang menghasilkan produk dengan kos rendah kerana kita sememangnya tidak boleh menyaingi Indonesia dan Vietnam yang mempunyai jumlah penduduk ramai.
Selain sektor perkilangan dilaporkan memerlukan 600,000 pekerja asing, sektor pembinaan dan perladangan juga dijangka membawa masuk pekerja asing dalam jumlah ramai.
Sektor pembinaan juga dilaporkan mengalami kekurangan tenaga kerja hingga menjejaskan tempoh siap projek.
Terpaksa diakui, negara kita masih lagi memerlukan pekerja asing bagi menggerakkan sektor ekonomi. Namun, kemasukan semula pekerja asing secara besar-besaran ke negara ini kelak dikhuatiri mendatangkan lebih banyak masalah pada masa hadapan.
Lambakan pekerja asing tidak mahir dalam pasaran buruh negara memberi kesan kepada kenaikan paras gaji selain timbul masalah sosial dan tekanan kepada kemudahan kesihatan awam.
Pekerja asing masih boleh dibawa masuk tetapi pastikan jumlahnya terkawal dan tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja tempatan.
SESAK
Kerajaan dicadang mengehadkan kemasukan pekerja dari Indonesia dan Bangladesh memandangkan jumlah warga mereka yang sedia ada di negara ini terlalu ramai.
Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 30 September lalu, terdapat 1.12 juta pekerja asing berdaftar dan daripada jumlah tersebut, lebih 60 peratus rakyat Indonesia dan Bangladesh seramai 696,523 orang.
Jumlah ini belum lagi termasuk yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI). Banyak implikasinya jika pekerja dari dua negara itu dibawa masuk lagi hingga mungkin mencecah sejuta orang dalam satu-satu masa.
Alternatif negara sumber lain perlu difikirkan. Baru-baru ini, semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja, beliau menyentuh kemungkinan masyarakat Melayu Champa dibantu dari segi tawaran peluang bekerja di negara ini disebabkan faktor persamaan budaya dengan masyarakat Malaysia.
Selain itu, masyarakat Melayu di Thailand juga boleh dipertimbangkan untuk bekerja di Malaysia dengan syarat kehadiran mereka terhad kepada sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sahaja.
Kelulusan bagi permohonan majikan untuk membawa pekerja asing perlu ditapis dengan teliti bagi mengelak masalah yang timbul akibat lambakan pekerja asing.
Majikan hendaklah dipastikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 dengan mempunyai kemampuan untuk menyediakan tempat tinggal kondusif buat pekerja asing mereka.
Banyak kes majikan didapati menyediakan tempat tinggal sempit, sesak dan kotor hingga boleh menyebabkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.
Bagi mengatasi isu kekurangan pekerja, disarankan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 untuk menarik semula minat pekerja tempatan yang kini ramai bekerja di sektor tidak formal seperti ekonomi gig.
M. FAISAL, Kuala Lumpur
Sumber: Utusan Malaysia
Comments