KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Berpantang maut sebelum ajal. Itu situasi yang dilalui oleh empat jemaah Masjid Haji Muhammad, Kampung Mengabang Tengah, di sini apabila mereka nyaris dihempap tapak menara kubah yang runtuh malam tadi.
Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam selepas jemaah selesai menunaikan solat terawih dan pulang ke rumah masing-masing kira-kira 10.15 malam.
Saksi kejadian, Aziz Salleh, 60, berkata kejadian itu berlaku sekelip mata ketika dia bersama dua lagi rakan sedang asyik bertadarus al-Quran manakala seorang lagi jemaah sedang sibuk melipat sejadah kira-kira tiga meter dari lokasi runtuhan.
Mereka tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi seperti panahan kilat yang kuat dari arah belakang.
"Semasa kejadian semua jemaah sudah pulang kecuali kami berempat dan keadaan di luar pula hujan lebat diselangi dengan kilat sabung-menyabung.
"Pada mulanya saya ingatkan bunyi 'prak' yang kuat itu datangnya daripada panahan kilat, tetapi masing-masing tergamam apabila menoleh ke belakang melihat tapak menara kubah yang sedang dalam pembinaan itu tersadai di atas lantai," katanya ketika ditemui di kawasan perkarangan Masjid Haji Muhammad, hari ini.
Menurut Aziz, walaupun hujan masih lebat, mereka mengambil keputusan untuk keluar dari masjid kira-kira lima minit selepas kejadian kerana bimbang kejadian lebih teruk akan berlaku.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Haji Muhammad, Wan Ismail Wan Ngah, 66, berkata masjid persendirian berusia lebih 100 tahun itu sedang dalam proses naik taraf berikutan banyak bahagian binaan kayunya yang sudah reput dan bumbung juga bocor.
Beliau berkata, masjid itu didirikan atas tanah wakaf dan kerja-kerja ubah suai yang telah memakan belanja sebanyak RM300,000 itu dibiayai hasil kutipan derma daripada orang ramai.
"Sejak didirikan masjid ini telah melalui lima atau enam kali proses pembaikan atau naik taraf tetapi kali ini adalah yang terbesar dengan penyediaan kos sebanyak RM600,000.
"Saya telah berjumpa dengan pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri pagi tadi untuk mendapatkan nasihat dan mereka mengesyorkan supaya kerja-kerja menaik taraf dihentikan sepenuhnya," katanya.
Proses menaik taraf masjid berkenaan mula dijalankan pada November tahun lepas dan dicadang akan digunakan untuk solat sunat Aidilfitri tahun ini. -- BERNAMA
Sumber: Bernama
Comments