
KUALA LUMPUR: Tanjakan susur keluar ke Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) dekat lampu isyarat ke PGA/Jalan Medan Masria akan ditambah baik menjadi dua lorong.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerusi anak syarikatnya, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd memaklumkan, melihat kapasiti jalan yang agak luas, perubahan itu dijangka dapat membantu mengurangkan masa beratur dan membolehkan lebih banyak kenderaan keluar dari tanjakan itu, pada satu-satu masa.
"Buat masa ini, Bahagian Operasi Lebuhraya Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bersama perunding dilantik sedang mengkaji reka bentuk sesuai untuk mengubah tanjakan susur keluar itu.
"Kajian juga dijalankan bersama syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE) untuk meneliti semula keseluruhan konfigurasi lampu isyarat termasuk berdekatan Maktab PDRM yang juga di bawah kendaliannya," menurut kenyataan itu, hari ini.
PROLINTAS berkata, dua unit papan tanda "Dilarang Belok Kanan" akan diletakkan pada 200 meter (m) sebelum simpang ke CKE dan satu lagi di simpang terbabit untuk memberi amaran kepada pengguna agar tidak membelok ke kanan yang boleh memperlahankan kenderaan sehingga mengakibatkan timbunan trafik.
"Kedua-dua papan tanda berkenaan dijangka siap dipasang minggu ini.
"Sementara itu, sebahagian daripada jalan susur (dari Gereja St Francis of Assisi, Jalan Cheras ke Jalan Medan Masria) kira-kira sepanjang 400 m itu telah siap dan baki 200 m lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir Februari 2023.
"Semua tindakan yang diambil ini akan memudahkan perjalanan pengguna Lebuhraya SUKE dan melancarkan trafik di jalan sambungan di sekitarnya," menurut kenyataan itu.
Sumber: Berita Harian
Comments