TOKYO – Laluan bertangga sebuah stesen kereta api di Jepun ditukar menjadi papan kekunci piano gergasi yang mengeluarkan bunyi melodi apabila dipijak oleh pengunjung, lapor akhbar Mainichi semalam.
Syarikat pengendali laluan kereta api Nishi-Nippon Railroad Co. dan kerajaan tempatan Fukuoka memasang tangga piano tersebut pada 29 Julai lalu sebagai daya tarikan selain meningkatkan kesihatan penumpang menerusi senaman ringan ketika melangkah di atas tangga.
Ia dipasang di laluan keluar arah utara stesen kereta api Nishitetsu Fukuoka (Tenjin) di bandar Chuo. Orang ramai teruja menikmati bunyi melodi yang dihasilkan apabila memijak tangga tersebut pada hari pertama ia dipasang.
Nota melodi piano itu mengeluarkan bunyi pada anak tangga keempat hingga 18 daripada sejumlah 44 anak tangga.
Pihak berkuasa memasang sensor infra merah di kedua-dua kawasan laluan tangga tersebut. Pijakan kaki akan memberi isyarat kepada pancaran infra merah, seterusnya mencetuskan sensor yang mengeluarkan bunyi melodi piano.
Kerajaan bandar tersebut berharap tangga itu dapat menggalakkan penumpang untuk bersenam sambil berseronok.
Pemilihan tangga untuk projek tersebut dibuat kerana kira-kira 100,000 penumpang menggunakan stesen Fukuoka (Tenjin) setiap hari pada tahun 2021, kebanyakan mereka adalah pekerja sektor korporat.
Kerajaan berharap semakin ramai penumpang akan memilih untuk menggunakan tangga piano tersebut yang akan beroperasi hingga 11 September depan.
Sumber: Kosmo!
Comments