JASIN - Kementerian Industri Utama melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan memperluaskan tanaman kenaf di Melaka dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya 150 hektar kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan tanaman itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, keluasan kawasan tersebut dijangka berupaya menghasilkan sehingga 1,000 tan kenaf bagi satu musim tuaian selain memberi peluang kepada lebih ramai pekebun kecil bergiat dalam industri itu.
"Melaka meletakkan cita-cita dan sasaran untuk menjadi pengeluar kenaf terbesar negara memandangkan potensi besar dimiliki tanaman tersebut selain tanah yang subur bagi tanaman kenaf di negeri ini. Sebelum ini banyak tertumpu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis dan Johor namun tahun ini kenaf akan diperluaskan di Melaka.
"Buat masa ini tanaman seluas 8 hektar telah dijadikan sebagai plot percubaan yang diusahakan oleh tujuh petani dari kalangan penduduk setempat dengan pengeluaran hasil sebanyak 10 tan sehektar bernilai RM40,000," katanya.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin melihat bahan struktur binaan yang diperbuat dari kenaf semasa majlis Perasmian Industri Kenaf Rakan Rakyat (Ikrar) di Kampung Sempang Pantai, Merlimau, di sini hari ini.
Shamsul ditemui pada majlis Perasmian Industri Kenaf Rakan Rakyat (Ikrar) yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor di Kampung Sempang Pantai, Merlimau di sini hari ini.
Selain itu, menurutnya, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa syarikat yang bersedia bekerjasama dalam mengembangkan industri kenaf di Melaka memandangkan terdapat permintaan memberangsangkan dalam industri biokomposit dan pembinaan serta beberapa produk lain.
"Ia selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran. Usaha berterusan juga akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam dapat digunakan secara meluas.
"Kementerian bersama LKTN akan terus memastikan program berkaitan dengan pembangunan industri kenaf seperti Ikrar diperluas kerana ia penting agar industri ini dapat dibangunkan sebagai salah satu agro-komoditi bagi menjana pendapatan serta manfaat kepada rakyat dan negara," tambahnya.
Sumber: Sinar Harian
Comentários