top of page

Tanah mendap Jalan Banting-Klang: Kontraktor pakej diarah henti kerja


Punca kejadian mendap di Jalan Klang-Banting berdekatan lampu isyarat Johan Setia masih disiasat. - Foto Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Perintah Berhenti Kerja (SWO) dikeluarkan kepada pihak kontraktor pakej kerja (WPC) projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) susulan kejadian mendap di Jalan Klang-Banting, berdekatan Johan Setia di sini, petang tadi.


MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) selaku kontraktor projek LRT3 berkata, SWO itu dikeluarkan kepada WPC, SN Akmida Sdn Bhd, susulan kejadian itu.


Mengulas lanjut, katanya lubang tenggelam terbentuk di Jalan Langat (berhadapan Banting) dan Jalan Johan Setia, Klang semasa aktiviti berkaitan projek berkenaan sekitar jam 3 petang.



Susulan itu, makluman segera dilakukan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Agensi Pengangkutan Awam (APAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


"Tidak ada korban jiwa dilaporkan dan kawasan terbabit juga ditutup. Sehingga kini punca sebenar kejadian masih disiasat dan pihak kami ingin meminta maaf kepada orang ramai atas sebarang kesulitan ditimbulkan," katanya.


Dalam kejadian jam kira-kira 3 petang tadi, pekerja projek dikatakan sedang melakukan kerja menanam cerucuk di kawasan tanah yang tidak rata, sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah sehingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.


Pasukan Tindakan Kecemasan LRT3 diaktifkan dan penutupan jalan dilaksanakan untuk mengelakkan orang ramai melalui kawasan yang terjejas.


Untuk melindungi keselamatan awam, MRCBGK berkata WPC memberi penerangan kepada penduduk Kampung Johan Setia yang tinggal berdekatan dan segera melaksanakan rancangan pengurusan lalu lintas untuk menutup jalan terjejas dan mengalihkan lalu lintas sehingga diberitahu kelak.


Berikut panduan untuk pengalihan lalu lintas semasa:

1. Kenderaan dari Jalan Pandamaran ke Jalan Johan Setia akan dialihkan ke Banting, Klang melalui aliran kontra di Jalan Banting Klang (menuju Banting).

2. Kenderaan dari Jalan Johan Setia tidak dapat memasuki Jalan Banting Klang/Jalan Pandamaran buat masa ini. Pemandu mesti membuat pusingan U, belok kanan ke Jalan Kebun Tambahan, belok kanan lain ke Jalan Kebun Baru Batu 9, kemudian belok kanan lagi ke Jalan Banting Klang.

3. Kenderaan dari Jalan Banting Klang tidak dapat membelok ke kanan ke Jalan Johan Setia. Kenderaan perlu membuat pusingan U di KESAS persimpangan dan belok kiri ke Jalan Johan Setia 1.


Untuk sebarang pertanyaan awam atau masalah berkaitan keselamatan, sila hubungi talian hotline LRT3 di 1-800-18- 2585.



13 views

Comments


bottom of page