KERJA-KERJA menambak Pantai Lido hingga mengganggu sistem pengaliran air dari Sungai Chat ke pantai itu dikenal pasti sebagai punca banjir kilat kerap berlaku di sekitar Kampung Mohd Amin, Johor Bahru, sejak kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Cheo Yee How berkata, sebaik diberitahu banjir kilat berlaku di kawasan itu petang semalam, dia berusaha mengadakan temujanji dengan wakil pemaju yang menambak Pantai Lido.
“Saya bertemu wakil pemaju pagi tadi dan kami melawat kawasan dimaksudkan, hasilnya saya dapati kawasan saliran air dari Sungai Chat ke Pantai Lido terjejas berikutan kerja menambak pantai yang dilakukan mereka.
“Keadaan itu menyebabkan pam digunakan untuk mengepam air dari Sungai Chat tidak boleh mengeluarkan air ke pantai kerana terhalang akibat kerja menambak, sekali gus menyebabkan banjir kilat.
“Hasil perbincangan, wakil syarikat berkenaan berjanji akan menyelesaikan masalah berkenaan dengan membina saliran kecemasan sementara bagi mengalirkan air ke pantai, selain menyediakan pam air sementara,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik di Johor Bahru, hari ini.
Menurutnya, selain penyelesaian jangka pendek pemaju berjanji akan mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Katanya, tindakan pantas perlu dilakukan untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk berikutan cuaca ketika ini tidak menentu berbanding 10 tahun lalu.
“Beberapa hari lalu, Johor Bahru mengalami kepanasan melampau, namun tiba-tiba hujan lebat hingga menyebabkan banjir kilat.
“Dulu kita bersedia menghadapi banjir setiap kali musim tengkujuh, tetapi sekarang tidak lagi. Siapa sangka dalam keadaan cuaca panas, tiba-tiba hujan lebat hingga mengakibatkan banjir kilat.
“Ini adalah banjir kali ketiga sejak Oktober lalu dan keadaan ini tidak boleh diteruskan kerana ia mengganggu ketenteraman penduduk. Saya berharap pemaju bertindak pantas,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Komentáře