top of page

Taman tema air – MBSP sudah keluar notis henti operasi 16 Disember lalu


Taman tema air – MBSP sudah keluar notis henti operasi 16 Disember lalu Kosmo www.kosmo.com.my
Anggota penguat kuasa MBSP menampal notis henti operasi di taman tema air di Bertam, Kepala Batas pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengeluarkan satu tawaran kompaun kesalahan dan Notis Menghendaki Perniagaan Dihentikan dalam tempoh tujuh hari kepada pemilik taman tema air di Kepala Batas dua minggu lalu.


Jurucakap MBSP dalam kenyataan berkata, menerusi pemeriksaan dan semakan yang dijalankan Jabatan Pelesenan agensi berkenaan pada pukul 1.30 petang, 16 Disember lalu mendapati premis tersebut telah melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dari MBSP.


Menurut kenyataan itu, pemeriksaan tempat hiburan yang dijalankan 22 Disember lalu pada pukul 3.15 petang sekali lagi mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen hiburan bagi aktiviti taman tema air.


“Satu notis kesalahan bagi menghentikan aktiviti hiburan taman tema air di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998 telah dikeluarkan bagi tempoh tiga hari kepada pemilik dan telah diserahkan.


“Pada 27 Disember 2022 (semalam), pemantauan semula pada jam lebih kurang 4,30 petang mendapati premis masih menjalankan aktiviti hiburan taman tema air.


“Hari ini, siasatan dan tindakan semula pada jam lebih kurang 9.40 pagi untuk menutup operasi aktiviti hiburan taman tema air kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar peruntukan Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998,” katanya.


Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan pengunjung berkumpul di hadapan pintu masuk taman tema air terbabit pagi tadi.


Menerusi video sama, tindakan penguatkuasa terbabit didakwa telah menganiaya pengunjung sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai yang datang sempena cuti persekolahan penggal ketiga.


Taman tema yang bernilai kira-kira RM90 juta itu mulai beroperasi pertengahan bulan ini atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd.


Sebelum ini, projek terbabit dilaporkan tertangguh sejak lebih tiga tahun lalu akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk Covid-19.


Sumber: Kosmo!


Comments


bottom of page