top of page

Taman teknologi RM4 bilion tarik pelabur Jerman ke Melaka



KUALA LUMPUR: Taman Teknologi Jerman yang bakal dibangunkan oleh Cypark Resources Bhd, Melaka Corporation (MCorp) dan Jakel Capital di Melaka direka untuk menarik syarikat teknologi dan pembuatan terkemuka dari negara gergasi ekonomi Eropah itu, sekali gus menyasar menjadi hab inovasi dan pembangunan mampan di Asia Tenggara.


MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, setakat ini terdapat lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia, yang telah mewujudkan lebih 70,000 pekerjaan untuk rakyat tempatan.


"Malaysia dianggap sebagai lokasi yang menarik kerana kedudukan strategiknya serta infrastruktur yang maju. Memandangkan syarikat-syarikat Jerman mematuhi amalan kemampanan dengan ketat, kami percaya projek ini amat sesuai dan tepat pada masanya untuk mendapatkan pelaburan yang lebih baik bagi menyokong pembangunan taman teknologi itu," katanya.


Cypark Resources, MCorp dan Jakel Capital telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka dan membangunkan penyelesaian tenaga bagi Taman Teknologi Jerman di Melaka.


Menerui MoU itu, ketiga-tiga pihak mempunyai matlamat bersama untuk mengurus perancangan, penjanaan, dan pengagihan sekurang-kurangnya 1,000 megawatt (MW) untuk taman teknologi itu dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.


Konsortium itu distrukturkan dengan Jakel Capital memegang 51 peratus kepentingan, Cypark Resources (29 peratus) dan MCorp (20 peratus), dengan anggaran perbelanjaan modal sebanyak RM4 bilion.


Projek itu merangkumi integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui dan sistem pengurusan tenaga moden termasuk penyelesaian penyimpanan bateri bagi memastikan bekalan kuasa yang kukuh dan kos efektif ke taman perindustrian tersebut, dengan rundingan bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga melalui Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).


MIDF Research berkata, Cypark terus menerajui dalam menyediakan penyelesaian untuk integrasi tenaga boleh diperbaharui di hab teknologi di seluruh negara.


"Projek ini dijangka menetapkan penanda aras baharu bagi inovasi dan kemampanan, dan kami percaya bahawa dengan kepakaran Cypark dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, taman teknologi tempatan dan serantau dapat mempercepatkan pencapaian matlamat kemampanan mereka, sambil beroperasi dalam persekitaran yang cekap tenaga dan kos.


"Selain itu, kami menjangkakan projek ini dapat membantu taman teknologi mengurangkan kebergantungan pada pembekal tenaga luar dan penjanaan tenaga konvensional, serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau dan merangsang ekonomi tempatan dalam jangka masa panjang," katanya.


Kommentare


bottom of page